Jersi Kelab Bola Sepak Inggeris Luton Town Dilelong Untuk Mangsa Gempa Bumi TÜrkiye

07/04/2023 03:56 PM

LONDON, 7 April (Bernama) -- Jersi yang ditandatangani oleh pemain kelab bola sepak Inggeris Luton Town dijual dalam satu lelongan pada Khamis untuk membantu mangsa gempa bumi yang dahsyat pada Februari lalu di Turkiye.

John Boyle, warga Britain, membayar £1,000 (AS$1,245) untuk jersi itu, lapor Anadolu Agency.

Ramai orang berkumpul pada majlis berbuka puasa anjuran Lembaga Pendidikan dan Kebudayaan Turkiye Luton di bandar Luton, yang terletak 46 kilometer (29 batu) di utara London.

Duta Turkiye ke UK Osman Koray Ertas, Konsul Jeneral ke London Bekir Utku Atahan, Datuk Bandar Luton Sameera Saleem dan Qurban Hussain, ahli House of Lords, adalah antara yang hadir bersama rakyat Turkiye yang tinggal di bandar itu.

Berucap pada majlis itu Ertas berkata perpaduan adlah antara ciri penting pada bulan Ramadan.

Menyentuh mengenai derma dan kempen pengumpulan dana oleh masyarakat Turkiye di UK selepas gempa bumi dahsyat yang mengorbankan lebih 50,000 orang, duta itu mengucapkan terima kasih kepada kumpulan dan organisasi Turkiye atas solidariti dan usaha mereka.

Bagi pihaknya, Lord Hussain meminta kerajaan dan rakyat Britain membantu mangsa yang dilanda gempa bumi.

Turkiye adalah sebuah negara yang kuat dan akan memulihkan keadaan, katanya dan menambah rakyat British akan terus melakukan yang terbaik untuk menghulurkan bantuan.

Sementara itu, tiket pergi balik Istanbul-London yang disumbangkan oleh Wizz Air dijual pada harga £600 (AS$747) kepada seorang warga Turkiye, Sahin Cebeci.

Syarikat penerbangan tambang rendah yang berpangkalan di Hungary itu membuat penerbangan pertamanya ke Lapangan Terbang Istanbul dari Lapangan Terbang London Luton pada 28 Mac.

Lebih 50,000 orang terbunuh apabila gempa bumi berukuran 7.7 dan 7.6 magnitud melanda 11 wilayah Turkiye – Adana, Adıyaman, Diyarbakir, Elazig, Hatay, Gaziantep, Kahramanmaras, Kilis, Malatya, Osmaniye dan Sanliurfa pada 6 Feb.

Susulan gempa bumi itu, lebih 13.5 juta orang di Türkiye dan ramai lagi di utara Syria, terjejas.

-- BERNAMA