Maiwp Peruntuk Hampir Rm500,000 Untuk Asnaf Aidilfitri Ini

08/04/2023 03:24 PM

KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan hampir RM500,000 bagi membantu golongan asnaf menerusi pelbagai kaedah, termasuk pembelian baju raya dan barangan keperluan lain sempena sambutan Aidilfitri kali ini. 

Pengerusi MAIWP Tan Sri Mohd Daud Bakar berkata sumbangan berkenaan disalurkan kepada golongan itu menerusi pelbagai program dan saluran serta melalui kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). 

“Daripada jumlah keseluruhan RM500,000 itu, sebanyak RM150,000 merupakan sumbangan MAIWP menerusi program Rahmah Ramadan MAIWP Sinar Aidilfitri melibatkan 500 orang asnaf dari tiga Wilayah Persekutuan.

“Setiap seorang akan menerima RM300 untuk membeli kelengkapan pakaian hari raya,” katanya kepada pemberita pada program Rahmah Ramadan MAIWP Sinar Aidilfitri di sebuah pasar raya di sini, hari ini.

Mohd Daud berkata 500 penerima itu mereka terdiri daripada 350 orang asnaf di Kuala Lumpur, 50 orang asnaf Putrajaya dan 100 orang asnaf di Labuan. 

Terdahulu Mohd Daud menyantuni 50 asnaf daripada lima keluarga yang dibawa membeli baju raya.

Beliau berharap sumbangan yang disalurkan MAIWP dapat menjentik semangat dalam kalangan rakyat Malaysia supaya tidak lupa kepada golongan yang memerlukan ketika sambutan Aidilfitri.  

“Diharapkan bantuan ini membolehkan golongan asnaf meringankan beban dan merasai nikmat berhari raya dengan lebih bermakna serta menyemarakkan sambutan Aidilfitri mereka,” katanya. 

Sementara itu, seorang penerima bantuan hari ini, Saibon Lat, 49, bapa kepada lapan anak berusia setahun hingga 18 tahun, menyifatkan sumbangan yang diterima sangat bermakna dan meringankan beban kewangan beliau menjelang Aidilfitri ini.

“Bantuan RM300 seorang untuk kelengkapan baju raya sangat menggembirakan anak-anak saya dan membolehkan mereka menyambut Aidilfitri dengan lebih ceria dan gembira,” katanya yang bekerja sebagai pemandu bas. 

-- BERNAMA