Bn Mahu Kerajaan Perpaduan Di Sabah Kekal Hingga Prn Akan Datang - Ahmad Zahid

08/04/2023 09:59 PM

PAPAR, 8 April (Bernama) -- UMNO dan Barisan Nasional (BN) mahu Kerajaan Perpaduan di peringkat Kerajaan Negeri Sabah pada masa ini dikekalkan sehingga Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

Presiden UMNO dan Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata adalah penting untuk membentuk kerjasama erat dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan dan negeri.

Justeru, beliau berkata situasi tenang dalam kalangan parti-parti politik di Sabah perlu diwujudkan.

“Itulah hasrat kami (UMNO dan BN), itulah apa yang telah ditandatangani di antara kami dan mereka, ini harus dikekalkan. 

“Terdapat beberapa langkah penyelesaian yang sedang dilakukan dan kita mencari cara terbaik supaya kerajaan yang ada dikekalkan sehingga PRN akan datang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, merasmikan Majlis Santunan Kasih Ramadan Negeri Sabah 2023 di Kampung Benoni di sini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.

Ahmad Zahid berkata Sekretariat Kerajaan Perpaduan di peringkat UMNO pusat yang diketuai Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Datuk Yakub Khan di peringkat Sabah akan memainkan peranan ke arah merealisasikan hasrat itu.

“Kita akan melakukan beberapa koordinasi daripada segi untuk menstabilkan kerajaan dan juga untuk mempertahan kedudukan yang ada di negeri Sabah ini,” katanya.

Beliau berkata politik yang stabil amat penting dalam memastikan agenda membantu rakyat dapat dijadikan fokus utama terutama dalam memajukan kawasan luar bandar yang memerlukan pembangunan fasiliti awam.

-- BERNAMA