Fama, Bank Rakyat Kerjasama Sumbang Kit Makanan Kepada Golongan Asnaf

10/04/2023 06:06 PM

KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) melancarkan program Jelajah Ramadan FAMA dengan kerjasama Bank Rakyat bagi tahun kedua untuk memberi sumbangan kit makanan kepada golongan asnaf di seluruh negara sempena bulan Ramadan.

Pemangku Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri, berkata Bank Rakyat melalui kerjasama itu menyalurkan sumbangan berjumlah RM600,000 dalam bentuk kit kebajikan makanan kepada hampir 4,000 golongan asnaf.

“Jelajah Ramadan ini merupakan satu konsep yang kita perkenalkan untuk kita bergerak ke lapangan bagi menyantuni golongan masyarakat yang memerlukan semasa bulan Ramadan.

“Pada tahun ini, kita amat berbesar hati dengan rangka kerjasama Bank Rakyat dan akan mengembangkan lagi jalinan kerjasama melalui beberapa lagi program yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran tersebut di Bangunan FAMA dekat sini.

Turut hadir Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani.

Dalam pada itu, Abdul Rashid berkata setiap lokasi Jelajah Ramadan kelak akan turut diadakan aktiviti penyampaian perkhidmatan FAMA dan Bank Rakyat bagi memudahkan komuniti setempat memahami peranan dan tugas yang dilaksanakan dalam memenuhi keperluan pihak berkepentingan.

“Penganjuran program seperti ini merupakan inisiatif serampang dua mata di mana bukan sahaja kita dapat mendekatkan peranan agensi ke lokasi program, malah dapat menjemput kerjasama pihak lain yang turut ingin menyumbang,” katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa program Jualan Khas Syawal MADANI oleh FAMA akan dirasmikan di pasar tani FAMA di Kelana Jaya oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu pada Sabtu ini.

Beliau berkata program tersebut yang turut diadakan secara serentak di 103 lokasi pasar tani seluruh negara akan memberi fokus kepada jualan barangan keperluan persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri seperti daging, ayam, sayur-sayuran dan barangan lain yang berkaitan.

“Kita menyasarkan jualan bernilai RM12.5 juta untuk tempoh 15 hingga 20 April itu, jadi untuk pengguna yang menghadapi masalah bekalan Hari Raya, kita berharap mereka pergi ke pasar tani FAMA yang berdekatan,” katanya.

-- BERNAMA