Ratusan Rakyat Palestin Cedera Dalam Pertempuran Dengan Tentera Israel Di Tebing Barat
RAMALLAH, 11 April (Bernama-Xinhua) -- Sekurang-kurangnya 216 rakyat Palestin cedera pada Isnin semasa pertempuran dengan tentera Israel di bandar Nablus Tebing Barat, kata pegawai perubatan Palestin.
Pertempuran sengit berlaku antara penunjuk perasaan dan tentera Israel di kampung Beita, 22 orang ditembak dengan peluru getah manakala berpuluh-puluh lagi terhidu gas pemedih mata yang dilepaskan oleh tentera Israel, menurut kenyataan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin.
Pertempuran tercetus selepas tujuh menteri Israel, 20 Ahli Parlimen Israel dan lebih 17,000 pendatang Israel menganjurkan perarakan ke arah pos "Avatar".
Penunjuk perasaan Palestin mengibar bendera, melaungkan slogan menentang Israel, membakar tayar dan membaling batu ke arah tentera Israel yang melepaskan gas pemedih mata dan peluru getah untuk menyuraikan mereka, menurut sumber.
Jurucakap presiden Palestin dalam satu kenyataan akhbar berkata Palestin mengutuk perarakan pendatang di Tebing Barat yang turut disertai menteri Israel.
"Tindakan peneroka menceroboh tidak akan mengubah hakikat bahawa ia tanah Palestin dan akan kekal begitu dan pencerobohan yang dibuat secara kekerasan tidak memberikan mereka hak," katanya.
Abu Rudeineh berkata Israel bertanggungjawab atas serangan pendatang dan tentera Israel ke atas Palestin manakala pendirian "berdiam diri AS menggalakkan lagi pendudukan (Israel).
Perarakan itu berlaku di tengah-tengah keganasan yang semakin memuncak antara Israel dan Palestin, yang dicetuskan oleh serbuan polis Israel di pekarangan Masjid Al-Aqsa minggu lalu.
Serbuan itu berlaku pada Ramadan dan ketika orang Yahudi menyambut perayaan Paskah.
-- BERNAMA-XINHUA