Maiwp Sumbang Rm75,000 Menerusi Program Rahmah Ramadan

11/04/2023 05:09 PM

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) hari ini menyalurkan sumbangan berjumlah RM75,000 menerusi program Rahmah Ramadan MAIWP dalam usaha meringankan beban golongan asnaf.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan MAIWP Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM35,000 disumbangkan kepada Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK), Persatuan Buku Jalanan Chow Kit (RM25,000) dan Pertubuhan Kebajikan Ar-Riqab (RM15,000).

Beliau berkata sumbangan kepada SBJK meliputi RM15,000 untuk naik taraf peralatan sekolah manakala RM20,000 pula diagihkan dalam bentuk wang tunai iaitu RM200 kepada 100 pelajar.

Katanya, MAIWP telah menyalurkan bantuan keseluruhan berjumlah RM55,000 bagi membantu aktiviti dan operasi SBJK sejak tahun lepas sehingga kini. 

“Sumbangan ini bertujuan menyokong Dasar Pendidikan Wajib Kementerian Pendidikan dalam memberi peluang kepada kanak-kanak jalanan, terpinggir, tanpa dokumen dan yatim piatu untuk terus mendapatkan pendidikan formal,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Rahmah Ramadan MAIWP di SBJK di sini hari ini.

Sementara itu, Guru Penolong Kanan Kokurikulum sekolah itu Hasnita @ Halina Hasmat berkata sumbangan itu diharap dapat meningkatkan motivasi dan semangat guru dan pelajar dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.

Seorang pelajar SBJK dikenali sebagai Sofia, 16, pula melahirkan rasa gembira dengan sumbangan wang tunai berkenaan yang dapat digunakan antaranya bagi membeli baju raya.

Program Rahmah Ramadan MAIWP merupakan hasil dana zakat yang diterima daripada pembayar zakat di Wilayah Persekutuan.

-- BERNAMA