Mysavefood Ramadan: Lebih 18 Tan Makanan, Minuman Diselamatkan - Fuziah Salleh

11/04/2023 08:59 PM

IPOH, 11 April (Bernama) -- Lebih 18 tan makanan dan minuman di tapak bazar Ramadan diselamatkan dan kemudiannya diagihkan kepada golongan memerlukan di seluruh negara sejak awal Ramadan sehingga hari ini melalui program MYSaveFood Ramadan 2023.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berkata program dengan penglibatan peniaga bazar Ramadan anjuran Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia (GEMA) merupakan inisiatif mengurangkan pembaziran makanan di tapak bazar Ramadan. 

“Sebelum ini mereka dah buat sendiri (program itu) tetapi tahun ini menjadi rakan strategik bersama KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) kerana kita nak memulakan usaha untuk menyelamatkan makanan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Bazar Ramadan Rahmah (BRR) Taman Cempaka dan Program Kempen MYSaveFood Ramadan di sini hari ini.

Fuziah berkata Inisiatif itu juga menyumbang kepada Sustainable Development Goal (SDG) iaitu mengurangkan separuh daripada jumlah pembaziran makanan menjelang 2030 dan mewujudkan dunia bebas atau sifar daripada kebuluran.

Sementara itu, Fuziah berkata kementerian bersama dua lagi rakan strategik, Touch n Go dan Boost meneruskan perluasan Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (Retail Digitalisation Inisiative – ReDI) yang bertujuan memastikan peniaga kecil bersama dalam arus perdana pendigitalan negara.

“Seramai 43 peniaga daripada 53 gerai di Bazar Ramadan Rahmah Taman Cempaka telah mengadaptasi pembayaran digital tanpa tunai dengan peniaga dapat mempelbagaikan pilihan pembayaran termasuk menstruktur perniagaan mereka dengan rekod aliran tunai keluar masuk yang lebih sistematik,” katanya.

Dalam pada itu, BRR Taman Cempaka yang mula beroperasi 1 Ramadan lepas mempunyai 53 gerai di mana 35 daripadanya menawarkan Menu RAHMAH yang menjual pelbagai jenis hidangan berbuka puasa.

Ia merupakan satu daripada dua BRR di Perak dengan sebuah lagi BRR People’s Park.

-- BERNAMA