500 Warga Tentera Darat Dirai Dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama Menteri Pertahanan
SUNGAI PETANI, 11 April (Bernama) -- Seramai 500 warga Tentera Darat Malaysia (TDM) diraikan dalam majlis berbuka puasa bersama Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan di Kem Lapangan Terbang di sini hari ini.
Kementerian Pertahanan dalam kenyataan yang diedarkan kepada media pada majlis itu memaklumkan Mohamad turut menunaikan Solat Maghrib berjemaah bersama warga TDM di Masjid An-Naim di kem itu yang diimamkan Pegawai Staf 2 Agama, Markas Tentera Darat Mejar Mohd Na’im Ahmad Al Hafiz.
"Menteri Pertahanan juga telah menyempurnakan penyampaian sumbangan kebajikan kepada anggota TDM yang melibatkan 26 orang penerima kategori Orang Kurang Upaya (OKU) dan 24 anggota lagi merupakan penerima kategori kurang berkemampuan (antaranya disebabkan tanggungan ramai)," kata kenyataan itu.
Kenyataan itu menyebut sumbangan berkenaan ialah inisiatif Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dalam membantu meringankan beban mereka memerlukan khususnya warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam suasana menyambut Ramadan.
"Kementerian Pertahanan kekal komited dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan warga Pertahanan berada pada tahap terbaik, serta menjadi keutamaan sejajar dengan lima teras Kertas Putih Pertahanan," menurut kenyataan itu.
Pada majlis itu, Menteri Pertahanan juga menyerahkan simbolik pembayaran fasa pertama bagi Skim Penabungan Anak-Anak Rukun Kelima (SPARK) bernilai RM314,050 kepada pihak Lembaga Tabung Haji (TH).
SPARK merupakan program pembukaan akaun TH anak anggota ATM yang bersekolah di dalam kem tentera seluruh negara dan RM50 akan disumbangkan Yayasan LTAT untuk setiap akaun yang dibuka itu.
-- BERNAMA