Koperasi Bernama Anjur Jualan Ihya Ramadan
KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Koperasi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Berhad menganjurkan Jualan Ihya Ramadan bertujuan membantu pengusaha perniagaan kecil memasarkan produk mereka serta kemudahan kepada warga Bernama untuk membeli-belah sempena Hari Raya Aidilfitri.
Pengerusi Koperasi Bernama Berhad Datuk Zakaria Abdul Wahab berkata jualan selama dua hari yang diadakan di Wisma Bernama bermula hari ini, dari 10:30 pagi hingga 3:30 petang itu, memberi peluang kepada usahawan yang kurang berkemampuan untuk menyewa tapak sewaan yang lebih mahal di luar.
“Selain itu ada dalam kalangan petugas Bernama tidak berkesempatan untuk membeli-belah disebabkan oleh kekangan masa.
“Sehubungan itu pihak koperasi menyediakan gerai yang menjual pelbagai jenis barangan seperti kuih raya, kain tudung, keronsang dan sebagainya.
“Sambutan daripada pengusaha amat meriah akan tetapi disebabkan ruang yang terhad, kami hanya dapat memberi peluang kepada 10 peniaga sahaja untuk berniaga di sini,” katanya di sini hari ini.
Pada masa yang sama, Zakaria berharap pelbagai acara tahunan lain dapat diadakan sebagai usaha menambah pendapatan koperasi selain membantu ahli koperasi yang terdiri daripada petugas-petugas Bernama.
-- BERNAMA