Niaga Hadapan Msm Ditutup Rendah Susulan Sentimen Yang Agak Lemah

14/04/2023 10:14 PM

Oleh Rosemarie Khoo

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives (BMD) menutup minggu ini kebanyakannya rendah selepas memperlihatkan penurunan yang lebih besar sejak beberapa hari lepas. 

Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group dari Mumbai, Anilkumar Bagani berkata olein sawit RBD dan pasaran niaga hadapan minyak kacang soya Bursa Dalian (DCE) serta Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT) yang lemah terus memberi tekanan kepada sentimen minyak sawit.

Eksport minyak sawit Malaysia yang rendah dan pemulihan mengejut dalam pengeluaran minyak sawit oleh Persatuan Pengilang Minyak Sawit Selatan Semenanjung (SPPOMA) turut mengheret turun sentimen.

"Pembelian destinasi terus tidak ada. Indonesia masih belum membuat sebarang keputusan berhubung penstrukturan semula dasar obligasi pasaran domestik (DMO) selepas Ramadan," katanya kepada Bernama.

Pada penutup, April 2023 kekal tidak berubah pada RM4,100 satu tan, Mei 2023 menambah RM11 kepada RM3,911, manakala Jun 2023 jatuh RM11 kepada RM3,702. 

Kontrak Julai 2023 merosot RM30 kepada RM3,566 satu tan, Ogos 2023 susut RM34 kepada RM3,503 dan September 2023 turun RM34 kepada RM34,480. 

Jumlah dagangan mengecil kepada 67,464 lot berbanding 81,845 lot yang disaksikan semalam manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 204,264 kontrak daripada 203,415 kontrak.

Harga MSM fizikal bagi April Selatan kekal pada RM4,250 satu tan.

-- BERNAMA