Empat Beradik Martabat Busana Melayu Lama, Jual Capal Dan Tanjak
KUALA TERENGGANU, 17 April (Bernama) -- Kecintaan terhadap tradisi dan budaya Melayu mendorong empat beradik dari Kampung Pulau Manis Serada di sini, mengusahakan perniagaan capal dan tanjak sekali gus memartabatkan busana Melayu asli itu.
Walaupun permintaan terhadap busana tradisional Melayu lama itu tidak sehebat songkok dan baju Melayu terutama menjelang Syawal, ia tetap memiliki peminatnya tersendiri dan masih mendapat tempat di pasaran.
Mohd Rafi Kori, 44, berkata dia memulakan perniagaan capal dan tanjak bersama abangnya, Kamarul, 49, serta dua adik, Mohd Arif, 38, dan Ghazali, 36, sejak 2010.
Mohd Rafi berkata pada awalnya mereka hanya berniaga capal pada Ramadan di Dataran Shahbandar, tetapi diperluas ke lokasi lain ekoran sambutan yang menggalakkan.
“Sepanjang Ramadan ini kami turut berniaga di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) selain di kedai tetap kami di pusat bandar Kuala Terengganu.
“Harga capal yang kami tawarkan antara RM80 hingga RM120 sepasang bergantung kepada saiz dan rekaan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Mohd Rafi berkata bagi tanjak pula, harga yang ditawarkan berbeza-beza mengikut fabrik, jenis dan corak, misalnya tanjak yang menggunakan fabrik kapas dan batik harganya sekitar RM80, manakala bagi separa songket lebih tinggi iaitu RM95.
Selain itu, menurutnya mereka juga menghasilkan tanjak songket tabur dan songket penuh dengan harga sekitar RM125.
“Berdasarkan maklum balas daripada pelanggan, mereka amat berpuas hati dengan tanjak dan capal keluaran jenama kami yang mampu tahan hingga tujuh tahun kerana ia hasil buatan tangan,” katanya.
Mohd Rafi berkata permintaan terhadap dua produk tersebut semakin meningkat selepas tayangan filem “Mat Kilau” baru-baru ini, terdapat juga pelanggan dari Brunei dan Singapura yang membuat tempahan untuk dipakai pada Aidilfitri.
-- BERNAMA