Adza Danial Kekal Tradisi 'berbalas' Kad Raya Dengan Raja-raja Melayu, Kenamaan
Oleh Hasnah Jusid
KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Bermula 2017, Adza Danial Haiqal Martias, tidak pernah jemu mengirim kad raya kepada Raja-Raja Melayu, kerabat diraja, termasuk Sultan Brunei dalam usahanya mengekalkan tradisi yang dicontohi daripada ayahnya sejak berusia lapan tahun.
Pada awalnya, Adza Danial Haiqal, 25, beranggapan tidak mungkin kerabat diraja dan orang kenamaan yang sering sibuk dengan pelbagai urusan, sudi membalas kad raya yang direkanya sendiri sebelum dihantar secara pos itu.
Hampir setiap hari beliau memeriksa peti surat di rumahnya dan berharap agar ada ‘keajaiban’, sehinggalah beliau menerima balasan kad raya pertama daripada Sultan Pahang, Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah pada 2017, suatu yang tidak disangka sama sekali.
“Kad raya diraja pertama saya terima ialah daripada Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah. Saya amat teruja, terpegun dan bangga dengan diri sendiri, sebab berjaya menerima kiriman daripada baginda meski saya bukan rakyat Pahang,” katanya kepada Bernama.
Benarlah kata-kata “raja dan rakyat berpisah tiada”, pada 2017 dan 2018, Adza Haiqal turut menerima kad raya daripada Sultan Kedah Almarhum Sultan Abdul Halim dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah.
“Sebab saya orang Kedah, sayang sungguh saya dengan sultan negeri kelahiran saya, pada ketika itu saya luahkan rasa bangga dengan Almarhum Sultan Abdul Halim sebab baru sahaja tamat tempoh menjadi Yang di-Pertuan Agong buat kedua kalinya,” katanya.
Pada 2019, beliau turut menerima balasan kad raya daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.
Selain itu, beliau turut menerima balasan kad raya daripada Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin, Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra Ibni Sultan Ismail Petra dan Tunku Temenggong Kedah Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.
Baginya, menerima kad raya daripada istana dengan tanda tangan Raja-Raja Melayu dan kerabat diraja sebenarnya sungguh menggembirakan serta mengujakan lebih-lebih lagi dalam zaman serba moden ini apabila ucapan Aidilfitri banyak dihantar dan disampaikan secara digital.
“Ini amat meyakinkan saya bahawa raja juga berjiwa rakyat, bukan tidak boleh didekati dan tidak mengenal rakyat. Semangat kesetiaan kepada raja dan negara amat tinggi sehingga saya berminat mempelajari sejarah Raja-Raja Melayu selain hafal semua nama Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Amalan mengirim kad raya itu diteruskan beliau hingga 2020 sebelum terhenti seketika akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun disambung semula tahun ini dengan sejumlah 38 keping dihantar kepada Raja-Raja Melayu, menteri Kabinet dan ahli-ahli Parlimen.
Anak pertama kepada pasangan penulis skrip Allahyarham Martias Mohd Ali dan Adza Irdawati Adenan itu, berkata beliau belajar selok belok gaya penulisan bahasa istana bagi memastikan laras bahasa yang digunakan bersesuaian, selain menghantar kad raya tersebut lebih awal seeloknya menjelang Ramadan.
“Saya mewarisi bakat menulis dan tatabahasa yang tinggi daripada Allahyarham ayahanda saya yang menyanjung tinggi seni bahasa Melayu, selain beliau sangat menekankan budi bahasa dan mengajar kami untuk kurang menggunakan bahasa pasar serta elak penggunaan singkatan dalam penulisan,” katanya.
Adza Danial Haiqal yang sedang menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi awam dalam bidang Komunikasi Massa, berkata pada tahun ini beliau menghantar 38 kad raya kepada Raja-Raja Melayu, menteri Kabinet dan orang kenamaan, dengan kos setem RM1.50 sekeping bagi penghantaran dalam negara, manakala RM4.50 sekeping kepada Sultan Brunei.
Setakat ini, beliau telah menerima balasan kad raya daripada Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Rais Yatim dan Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman.
“Tahun ini sebab saya kesuntukan masa untuk reka sendiri kad raya, saya beli 10 set kad raya yang mengandungi empat keping setiap set. Pada 2018 dan 2019 saya komited mereka kad raya sendiri menggunakan perisian Adobe Photoshop CS5 pada komputer riba,” katanya.
Beliau berkata, selain kad raya, beliau juga pernah mengirim surat rasmi dan menerima kiriman balas berbentuk poskad daripada Istana Kensington di London pada 2017 susulan pengumuman kehamilan anak ketiga Putera William dan pada ulang tahun keputeraan Putera Harry.
-- BERNAMA