Kpdn P.pinang Sita Pelbagai Barangan Bernilai Rm1.8 Juta Sejak Awal Tahun

18/04/2023 12:31 PM

BUKIT MERTAJAM, 18 April (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang telah mengambil tindakan menyita pelbagai barangan bernilai RM1.8 juta kerana pelbagai kesalahan dalam pemeriksaan yang dijalankan di 17,939 premis di seluruh negeri itu sejak awal Januari hingga semalam.

Pengarahnya S.Jegan berkata dalam pemeriksaan sepanjang tempoh itu, pihaknya telah mengambil tindakan terhadap 276 kes kerana pelbagai kesalahan, dengan jumlah kompaun yang dikenakan menjangkau RM443,600.

"Berdasarkan statistik aduan pula, kami menerima 2,769 aduan sepanjang tempoh berkenaan dan daripada jumlah itu, 421 (aduan) berhubung harga barangan dan perkhidmatan, 65 pula berkaitan bekalan barang kawalan manakala selebihnya iaitu 2,283 adalah berhubung aduan dan lain-lain.

“Kes berkaitan harga barang dan perkhidmatan serta bekalan barang kawalan antara yang paling tinggi KPDN Pulau Pinang rekodkan,” katanya ketika ditemui selepas sesi Walkabout dan Pemantauan Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2023 Peringkat Negeri yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Industri Dan Pembangunan Usahawan Pulau Pinang Datuk Abdul Halim Hussain.

SHMMP Hari Raya Puasa 2023 dilaksanakan bermula 15 hingga 30 April meliputi 30 jenis barangan asas seperti hasil laut, barangan kering, sayuran dan daging.

Sementara itu Jegan berkata 122 penguat kuasa KPDN Pulau Pinang, dengan dibantu oleh 66 pemantau harga, terlibat dalam pemeriksaan serta pemantauan sepanjang tempoh SHMMP Hari Raya Puasa 2023 di Pulau Pinang.

Beliau berkata pemantauan dan pemeriksaan yang meliputi pemborong, peruncit, pasar raya, pasar awam dan pasar tani mendapati, bekalan barangan keperluan asas mencukupi di semua peringkat rantaian perniagaan sepanjang tempoh Ramadan ini.

Menurutnya kerjasama dengan pemborong dan pengeluar dipertingkat bagi membantu mana-mana peruncit yang mengalami masalah bekalan, terutamanya dalam menyambut perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.

"Tempoh pelaksanaan SHMMP Hari Raya Puasa 2023 kali ini adalah bersesuaian mengikut keadaan semasa, iaitu mewujudkan suasana menang-menang kepada pengguna dan peniaga, iaitu pengguna dapat menikmati harga yang berpatutan manakala peniaga pula tidak tertekan dengan tempoh masa pelaksanaan yang terlalu lama," katanya.

-- BERNAMA