Festival Ramadan Putrajaya Capai Sasaran, Tarik 600,000 Pengunjung

19/04/2023 03:00 PM

PUTRAJAYA, 19 April (Bernama) -- Festival Ramadan Putrajaya (FRP) 2023 edisi ke-11 hingga kini merekodkan 600,000 pengunjung, melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu 500,000 bagi tempoh sebulan festival itu diadakan.

Pengarah Bahagian Pelesenan Jabatan Perkhidmatan Bandar Perbadanan Putrajaya (PPj) Jeffri Mustapa berkata FRP yang merupakan acara tahunan anjuran PPj itu, mula dibuka pada 22 Mac lepas dan akan melabuhkan tirainya pada 21 April ini.

Beliau berkata festival bertemakan ‘Seindah Ramadan, Harmoni Lebaran’ itu, mempunyai dua komponen iaitu Bazar Ramadan dan Jualan Aidilfitri yang diadakan bagi menjadikan Putrajaya sebagai pusat sehenti jualan juadah berbuka puasa dan barangan keperluan Aidilfitri.

“Alhamdulillah dengan sambutan yang diterima setakat ini, PPj yakin ia mampu menarik lebih ramai pengunjung tahun ini.

“Sambutan menggalakkan ini dapat dilihat walaupun pada hari biasa dan lebih meriah pada hujung minggu. Ini berdasarkan tinjauan yang kita lakukan mendapati ramai pengunjung membanjiri Bazar Ramadan, Jualan Aidilfitri di Anjung Syawal dan kawasan Laman Iftar,” katanya kepada Bernama baru-baru ini, .

Jeffri berkata tahun ini perbadanan itu menampilkan elemen baharu bagi Bazar Ramadan iaitu mewujudkan empat Bazar Mini Ramadan yang dibuka di tapak parkir Taman Seri Empangan, Presint 5 dengan penyertaan 11 peniaga; tapak parkir Pasar Awam, Presint 8 (12 peniaga); tapak berhadapan Depoh PPj, Presint 9 (45 peniaga) dan tapak pasar malam Presint 14 (145 peniaga).

 Katanya seramai 290 peniaga pula menyertai Bazar Ramadan di Precint 3, di sini.

“Pembukaan Bazar Mini Ramadan ini susulan permohonan penyewaan tapak yang memberangsangkan iaitu 500 permohonan.

“Jadi, kita putuskan untuk buka bazar di lokasi lain bagi memberi peluang kepada peniaga untuk tambah pendapatan mereka yang sebelum ini terjejas akibat pandemik COVID-19,” katanya.

Menyifatkan pembukaan bazar mini itu sebagai alternatif kepada penduduk Putrajaya sekiranya mereka tidak berpeluang berkunjung ke Bazar Ramadan Presint 3, Jeffri berkata ia turut mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk sekitar dan luar kawasan Putrajaya.

Bagi memastikan operasi FRP2023 sentiasa berada pada tahap terbaik dalam semua aspek khususnya kebersihan, menurutnya lebih 100 petugas pemantauan dan pematuhan ditugaskan setiap hari bagi memantau pelbagai aspek antaranya pelesenan, operasi bazar, kawalan pengunjung serta lalu lintas.

Mengenai Jualan Aidilfitri di Anjung Syawal yang terletak berhadapan bangunan PPj, beliau berkata pihaknya bersetuju membenarkan operasi perniagaan dilanjutkan hingga 2 pagi pada 12-18 April dan hingga 5 pagi pada tiga malam terakhir Ramadan iaitu 19-21 April. 

“Waktu operasi baharu ini memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan kelengkapan Aidilfitri pada saat-saat akhir,” katanya dan menambah waktu operasi Anjung Syawal sebelum ini ialah 12 tengah hari hingga 12 tengah malam.

Mengenai perancangan penganjuran FRP tahun depan, Jeffri berkata PPj akan menambah baik pelbagai kemudahan, selain menambah lokasi Bazar Ramadan dan Bazar Mini Ramadan serta mempergiat aktiviti promosi melalui jalinan kerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi menarik kehadiran pelancong asing.

“Kita akan cuba buat aktiviti untuk tarik minat pelancong asing berkunjung ke FRP pada edisi akan datang. Kita mahu mereka merasai kemeriahan Ramadan dan keceriaan pengunjung membeli-belah persiapan Aildilfitri,” katanya.

FRP edisi tahun lepas berjaya menarik kehadiran lebih 500,000 pengunjung dengan hasil jualan kasar sebanyak RM3 juta.

-- BERNAMA