Jenazah ‘Tersenyum’ Kerana Melindungi Masjid Al-Aqsa? Gambar Tular Bukan Jenazah Sebenar, Ia Adalah Demonstrasi Pada Program Pengurusan Jenazah Di Malaysia

26/04/2023 04:21 PM
By :
Puti Sarah

SEKILAS FAKTA

  • Tular satu gambar jenazah lelaki tersenyum dikatakan meninggal dunia akibat insiden serangan di Masjid Al-Aqsa.
  • Dikatakan lelaki tersebut mati syahid akibat serangan itu.
  • Semakan MyCheck mendapati gambar tersebut adalah gambar yang diambil ketika program pengurusan jenazah di sebuah institut pengajian tinggi di Malaysia.
  • Perkara itu juga disahkan oleh individu yang mengambil gambar asal tersebut dan menjelaskan bahawa ia tiada kaitan dengan kejadian yang berlaku di Masjid Al-Aqsa.

pix1

 

LATAR BELAKANG

Acap kali menjelang Ramadan, episod kesengsaraan rakyat Palestin pasti kedengaran di dada-dada akhbar dan media.

Perkara ini seolah-olah sudah dijangka penduduk Palestin yang mana serangan dan pertempuran akan dilancarkan oleh tentera rejim Israel di Masjid Al-Aqsa.

Senario ini tentunya membawa peristiwa dahsyat buat umat Islam di sana yang menjalankan ibadah puasa di bulan suci Ramadan.

 

MENGENAI DAKWAAN

Tular gambar jenazah seorang lelaki dikatakan meninggal dunia kerana melindungi Masjid Al-Aqsa, Baitulmaqdis.

Menurut hantaran yang dikongsi melalui WhatsApp kepada MyCheck, gambar tersebut memperlihatkan si mati lengkap berkain kafan sedang tersenyum.

Hantaran seperti ini pastinya menimbulkan impak kepada beberapa pihak yang turut terkesan dengan kejadian menimpa bumi Palestin itu.

Adakah benar gambar si mati adalah mangsa serangan di bumi Palestin baru-baru ini?

Jom ikut MyCheck semak kesahihannya.

 

APA YANG KAMI TEMUI

Serangan Masjid Al-Aqsa

Konflik berpanjangan antara Israel dan Palestin telah membawa banyak kemusnahan dan meragut ribuan nyawa.

Kekejaman rejim zionis telah mengakibatkan banyak warga Palestin terkorban serta gugur syahid.

Pembentukan negara Israel pada 15 Mei 1948 di bumi Palestin menyaksikan penjajahan dan rampasan tanah terhadap penduduk asal negara Palestin berdaulat.

Kedudukan tanah Palestin di Baitulmaqdis yang strategik menjadikan kawasan itu rebutan dunia oleh kerana keistimewaanya sebagai pusat penjalin antara beberapa benua.

Jika diimbas kembali sejarah penaklukan Bailtulmaqdis, beberapa siri serangan telah dilancarkan bagi mengeksploitasi kota suci itu.

Baru-baru ini dunia sekali lagi dikejutkan dengan serangan yang dilancarkan oleh Israel terhadap jemaah di pekarangan Masjid Al-Aqsa pada 5 April lepas.

Menurut laporan Sinar Harian yang memetik Astro Awani, polis Israel telah menyerang jemaah Masjid Al-Aqsa yang mengakibatkan tujuh daripada mereka cedera sementara 200 rakyat Palestin ditahan.

 

pix2

 

MyCheck mulakan semakan dengan meneliti hantaran tersebut.

Kami menekan pautan yang dikongsikan, pautan tersebut membawa kami ke satu hantaran di Facebook.

Hantaran berserta gambar itu dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama akaun Mukul Paint’s pada 8 April 2023.

Turut disertakan kapsyen yang ditulis dalam bahasa Bangladesh.

Terjemahan kapsyen tersebut adalah :

Saudara (lelaki) ini meninggal dunia ketika melindungi Masjid Al-Aqsa daripada serangan dan letupan, umat Islam memuliakannya dengan syahid, lihatlah senyuman di wajahnya.

 

Carian Gambar Asal

Bagi menelusuri kesahihan gambar tersebut, kami membuat carian rawak menggunakan Google imej berbalik.

Hasilnya, kami menjumpai beberapa pautan yang menunjukkan gambar sama seperti di di sini dan di sini.

Namun berdasarkan tarikh hantaran di pautan tersebut kami dapati ia sebenarnya gambar lama.

Anda boleh lihat gambar yang dikongsikan oleh pengguna Facebook yang menggunakan nama akaun Uislamu Chaguo Langu. Gambar tersebut telah dimuat naik pada 10 Februari 2021.

Bagi mendapatkan petunjuk yang lebih jelas, kami beralih ke carian imej berbalik Yandex.

Carian di Yandex membawa kami ke sebuah laman blog arehsyby94 berkenaan ‘activities in KPTM’ yang disiarkan pada 3 November 2014.

 

Program Pengurusan Jenazah

Ketika kami menatal laman blog arehsyby94, kandungan blog tersebut banyak menyiarkan maklumat berkenaan aktiviti-aktiviti pendidikan yang dianjurkan di sebuah institut pengajian.

Salah satu aktiviti yang diadakan adalah program Rehlah Al-Khulud yang dianjurkan oleh Kelab Fasilitator Kolej Poly Tech-Mara (KPTM), Kuala Lumpur dan salah satu aktiviti mereka adalah program pengurusan jenazah.

KPTM adalah institut pengajian tinggi swasta di Malaysia yang menawarkan peluang pendidikan dalam pelbagai bidang seperti Sains Komputer, Sains Sosial, Kejuruteraan dan lain-lain.

 

pix3

 

Seperti yang anda lihat di laman blog tersebut, Gambar yang dikongsikan menunjukkan proses dan cara pemakaian kain kafan bagi pengebumian jenazah yang merupakan sebahagian daripada program pendidikan di institut tersebut.

Pengurusan jenazah adalah salah satu fardu kifayah yang wajib dilaksanakan oleh sebahagian umat Islam.

Kami turut menjumpai gambar dakwaan yang tular tersebut. Anda boleh lihat seperti gambar di bawah yang menunjukkan kapsyen ‘Finishing Kafan’.

 

pix4

 

Sekiranya anda meneliti pada kedua-dua gambar itu terdapat persamaan yang dapat dilihat seperti permukaan lantai dan bahagian posisi jenazah dikafankan.

 

pix5

 

Bagaimanapun, ketika kami menelusuri kandungan di laman blog arehsyby94, kami dapati individu yang menulis blog tersebut adalah Haris Hasbi atau lebih dikenali sebagai Haris Sebiey yang merupakan salah seorang pelajar yang menuntut di KPTM tersebut.

Kami membuat semakan di Facebook bagi mencari identiti individu itu menggunakan kata kunci “Haris Sebiey”.

Hasilnya kami menemukan profil Facebook milik Haris dan menemukan gambar yang sama di muat naik beliau.

Bagi mendapatkan kesahihan yang lebih jelas, MyCheck cuba menghubungi Haris untuk mendapatkan pencerahan.

Haris mengesahkan individu di dalam gambar tersebut adalah salah seorang pelajar yang sukarela menjadi contoh demonstrasi ketika program itu berlangsung.

 

pix6

 

Beliau turut menjelaskan bahawa gambar tersebut tiada kaitan dengan kejadian yang berlaku di Al-Aqsa dan menyatakan beliau juga merupakan individu yang merakam gambar lelaki tersebut.

Seterusnya bagi mendapatkan gambaran yang lebih luas kami membuat carian di Facebook menggunakan kata kunci “REHLAH AL-KHULUD”.

Hasilnya kami menemui poster yang dimuat naik Facebook KPTM Part Time Jobs & Volunteering Activities yang memaparkan maklumat berkenaan program Rehlah Al-Khulud yang berlangsung pada 11 Oktober 2014.

 

pix7

 

Berdasarkan semakan MyCheck, jelaslah gambar tersebut bukanlah dari Palestin tetapi ia merupakan gambar dari sebuah institut pengajian tinggi di Malaysia yang melaksanakan program pengurusan jenazah.

 

Semakan Pihak Lain

Kami turut menemukan beberapa laporan yang dibuat penyemak fakta lain berkenaan isu ini.

Semakan fakta India Today juga mengesahkan bahawa gambar yang tular itu bukanlah dari Palestin tetapi dari Malaysia.

Selain itu, organisasi semakan fakta seperti NewsChecker turut melaporkan perkara sama.

India Today dan NewsChecker adalah inisiatif semakan fakta yang berpangkalan di India.

 

KESIMPULAN

Kami mengklasifikasikan dakwaan gambar itu sebagai tidak benar.

Ia berikutan gambar tersebut adalah daripada program pengurusan jenazah di Malaysia yang tiada kaitan dengan kejadian di Masjid Al-Aqsa.

Gambar itu juga sudah lama dimuat naik iaitu pada 2014 di mana tahun sama program itu berlangsung.

Bagaimanapun, gambar tersebut ditularkan semula iaitu ketika serangan di Masjid Al-Aqsa baru-baru ini namun menggunakan konteks yang berbeza.

Lebih membimbangkan, gambar tersebut tular di media sosial khususnya di luar negara seperti di India dan Bangladesh yang mana populasi masyarakatnya besar dan rata-rata mereka berkongsi gambar tersebut tanpa menentukan kesahihannya.

Isu melibatkan Palestin atau serangan menindas umat Islam sangat sensitif kerana ia melibatkan nyawa dan maruah.

Justeru usah sewenang-wenangnya menyebarkan sesuatu perkara tular sebelum disahkan kebenarannya.

Diharapkan semua pihak dapat bekerjasama dalam membanteras maklumat palsu yang berlegar di media sosial kerana setiap mesej yang dibawa itu memberi implikasi besar sehingga boleh mengakibatkan keadaan huru-hara bukan sahaja kepada individu atau komuniti malah boleh meruntuhkan sesebuah negara.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN 

  1. Harian Metro - usah lupa sengsara Palestin

  2. Berita Harian - Sejarah Baitulmaqdis jadi rebutan

  3. Masjid Al-Aqsa

  4. Polis Israel serang jemaah Masjid Al-Aqsa sebelum Subuh

  5. Facebook - Mukul Paint’s 

  6. Facebook Uislamu Changuo

  7. Facebook-Uislamu Chaguo Langu 

  8. Blog - arehsyby94

  9. KPTM

  10. Facebook - Haris Sabiey

  11. Facebook - KPTM Part Time Jobs & Volunteering Activities

  12. India Today

  13. NewsChecker