Niaga Hadapan Msm Ditutup Rendah

26/04/2023 09:58 PM

KUALA LUMPUR, 26 April (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives (BMD) kekal dalam aliran menurun untuk ditutup rendah hari ini berikutan kekurangan permintaan belian dan pemangkin positif, kata seorang peniaga.

Ketua penyelidik komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai Anilkumar Bagani berkata niaga hadapan MSM BMD diniagakan rendah dan menerima tekanan daripada penurunan minyak sayuran pesaing dan minyak mentah semalaman. 

“Eksport minyak sawit Malaysia yang rendah semasa April juga memberi tekanan kepada minyak sawit beserta dengan jangkaan pasaran Indonesia melaksanakan semula obligasi pasaran domestiknya (DMO) ke paras sebelum Ramadan dan levi serta cukai eksport minyak sawit Indonesia juga turun ke paras sebelumnya. 

“Intertek Testing Services mengunjurkan eksport minyak sawit Malaysia sepanjang tempoh 1-25 April berjumlah 989,658 tan metrik, turun sebanyak 14.04 peratus berbanding tempoh yang sama pada Mac,” katanya kepada Bernama.

 Anilkumar berkata pasaran kini menumpukan kepada data pengeluaran minyak sawit sepanjang tempoh 1-20 April daripada Persatuan Pengilang-Pengilang Kelapa Sawit Semenanjung Selatan, UOB Kay Hian dan juga daripada Persatuan Minyak Sawit Malaysia.

Pada penutup dagangan, kontrak Mei 2023 susut sebanyak RM20 kepada RM4,061 setan metrik, Jun 2023 jatuh sebanyak RM47 kepada RM3,764 setan metrik dan Julai 2023 turun sebanyak RM65 kepada RM3,570 setan metrik.

Selain itu, kontrak Ogos 2023 berkurangan RM58 kepada RM3,508 setan metrik, September 2023 turun RM51 kepada RM3,449 setan metrik dan Oktober 2023 jatuh RM50 kepada RM3,501 setan metrik.

Jumlah dagangan merosot kepada 59,318 lot daripada 71,514 pada Selasa, manakala kepentingan terbuka turun kepada 204,842 kontrak daripada 204,938 kontrak.

Harga MSM fizikal bagi April Selatan tidak berubah pada RM4,200 setan metrik.

-- BERNAMA