Remaja Raih Pendapatan Dengan Melukis

08/05/2023 02:33 PM

GUA MUSANG, 8 Mei (Bernama) -- Seorang remaja lelaki tidak mensia-siakan bakat melukis dimilikinya sejak tiga tahun lepas sehingga berjaya menjual hampir 1,000 karya seperti potret, pemandangan, mural, kartun anime, 3D, abstrak dan realisme.

Afiq Affendi Zamiri, 18, berkata dia mula melukis sejak berusia lapan tahun hasil tunjuk ajar daripada bapanya.

“Kira-kira tiga tahun lepas saya beranikan diri mengambil upah melukis selepas memperkemaskan hasil kerja melalui kelas pendidikan seni visual di sekolah. 

“Kini setelah tahun ketiga aktif menerima tempahan saya berjaya menghasilkan hampir 1000 karya. Upah paling banyak terima adalah lukisan potret yang dikenakan bayaran berpatutan iaitu antara RM25-RM80 bergantung kepada saiz lukisan,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Bandar Baru, di sini.

Bercerita lanjut, anak kedua dari tiga beradik itu berkata antara cabaran dihadapinya adalah perlu menyiapkan lukisan dengan baik tanpa memanjangkan tempoh menunggu oleh pelanggannya.

“Saya pernah bekerja dalam keadaan cuaca panas ketika menyiapkan mural di dinding bangunan dan kedai, dan ada kalanya saya tetap bekerja dalam bulan Ramadan,” katanya. 

Menurut Afiq Affendi hasil jualan yang diperoleh disimpan sebagai tabung pendidikan untuk menjejakkan kaki ke institusi pengajian tinggi (IPT) bagi mengejar cita-cita sebagai pereka grafik.

“Saya iklankan perkhidmatan ini melalui WhatsApp dan tujuannya untuk saya mencari pendapatan sendiri kerana ingin berdikari serta tidak mahu susahkan ibu bapa," katanya yang turut mendapat tunjuk ajar Pakar Pengajar Dan Pakar Industri Negara 2016 Zakariya Mamat, 67.

-- BERNAMA