Niaga Hadapan Msm Diunjur Diniagakan Rendah Minggu Depan

13/05/2023 11:29 AM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Pasaran niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) tempatan dijangka diniagakan rendah minggu depan berikutan prospek pengeluaran yang lebih tinggi pada Mei.

Sebelum ini, Persatuan Pengilang Minyak Sawit Selatan Semenanjung (SPPOMA) berkata, pengeluaran pada 1-10 Mei lebih tinggi sebanyak 30 peratus berbanding tempoh yang sama pada bulan lepas.

Pemilik dan pengasas bersama Palm Oil Analytics yang berpangkalan di Singapura, Sathia Varqa memberitahu Bernama, pengeluaran minyak sawit dijangka mencatat pemulihan kukuh pada Mei berikutan tempoh penuaian yang lebih panjang berbanding April kerana aktiviti itu tergendala ketika bulan Ramadan dan cuti umum Hari Raya Aidilfitri.

Sehubungan itu, peniaga minyak sawit David Ng berkata, beliau meramalkan julat harga antara RM3,500 dan RM3,800 bagi komoditi itu pada masa akan datang.

Selain itu, beliau berkata faktor luaran seperti sentimen lemah bagi niaga hadapan minyak kacang soya Lembaga Perdagangan Chicago turut mempengaruhi pasaran minyak sawit. 

Bagi minggu baru berakhir, niaga hadapan MSM diniagakan kebanyakannya rendah berikutan data oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang tidak memberangsangkan, aktiviti pengambilan untung dan kebimbangan terhadap prospek pengeluaran yang meningkat pada Mei.

Bagi asas mingguan, kontrak Mei 2023 menyusut sebanyak RM227 kepada RM3,843 satu tan, Jun 2023 menambah RM54 kepada RM3,828 dan Julai 2023 meningkat RM47 kepada RM3,648.

Kontrak Ogos naik RM11 kepada RM3,552 satu tan, manakala September 2023 menyusut RM5 kepada RM3,511 dan Oktober 2023 rendah RM19 kepada RM3,495 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan melonjak kepada 407,184 lot daripada 200,568 lot, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 250,832 kontrak daripada 208,213 kontrak pada Jumaat lepas.

Harga MSM fizikal bagi Mei Selatan berada pada RM3,900 satu tan.

-- BERNAMA