Pesakit Darah Tinggi Dan Kencing Manis Tak Boleh Makan Kurma? Tidak, Ia Boleh Dimakan Namun Perlu Dihadkan Kuantitinya

02/06/2023 02:30 PM
By :
Mazani CYS

SEKILAS FAKTA

  • Timbul dakwaan bahawa pesakit darah tinggi dan kencing manis tidak boleh makan kurma.
  • Pakar perubatan sahkan dakwaan berkenaan kurang tepat kerana buah kurma mengandungi pelbagai khasiat.
  • Pesakit darah tinggi dan kencing manis boleh makan kurma namun jumlahnya perlu dihadkan kerana buah itu memiliki kandungan pemanis semula jadi yang tinggi.
  • Buah kurma jika diambil dalam kadar sederhana bukan sahaja selamat bahkan bermanfaat untuk pesakit darah tinggi atau kencing manis.

pix1

 

LATAR BELAKANG

Sebut sahaja buah kurma, pasti terbayang bulan Ramadan.

Buah itu sinonim sebagai salah satu hidangan wajib bagi umat Islam ketika bersahur dan berbuka puasa.

Namun, buah kurma sebenarnya boleh ditemui sepanjang tahun, bahkan ia dijadikan makanan harian di sesetengah negara terutamanya di Timur Tengah.

Buah kurma yang dikenali dengan pelbagai panggilan seperti rutab, tamar dan beberapa nama lain mempunyai pelbagai khasiat kepada tubuh badan.

 

MENGENAI DAKWAAN

MyCheck menerima satu mesej menerusi WhatsApp yang bertanyakan benarkah pesakit darah tinggi dan kencing manis tidak boleh makan buah kurma.

Menurut individu yang menghantar mesej tersebut, ibunya kini tidak lagi mahu memakan kurma kerana takut.

 

pix2

 

Kita sering mendengar kebaikan dan khasiat kurma, jadi benarkah dakwaan tersebut?

MyCheck semak untuk anda.

 

APA YANG KAMI TEMUI

Sejarah Kurma

Mungkin ramai daripada kita tidak mengetahui sejarah buah kurma seperti asal usul selain proses penanaman dan penghasilan sebelum diedarkan kepada pengguna.

Pensyarah Kanan Program Pemakanan dan Dietetik, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr Wan Nudri Wan Daud menjelaskan kurma atau tamar ialah sejenis buah daripada pokok palma atau nama saintifiknya Phoenix dactylifera.

Beliau yang dipetik menerusi laman sesawang Dewan Masyarakat menjelaskan pokok kurma hidup subur di persekitaran yang kering dan berpasir, terutamanya di Mesir, Arab Saudi dan negara Timur Tengah selain mengambil masa empat hingga tujuh tahun selepas ditanam untuk berbuah dan buahnya boleh dimakan sama ada yang sudah masak atau belum.

Terdapat lima peringkat kematangan buah kurma iaitu hababauk (warna putih gading), kimri (warna hijau), khalal (warna merah), rutob (kurma basah) dan tamar (kurma kering).

Menurut artikel berkenaan, terdapat lebih daripada 200 jenis kurma namun berdasarkan semakan kami dengan beberapa sumber lain termasuk laman sesawang berkaitan buah kurma, dilaporkan terdapat lebih 1,400 jenis buah kurma yang ada ketika ini.

Di Malaysia, antara jenama buah kurma yang popular adalah ajwa, medjoul, safawi, mabroom, deglet nour dan mariami.

Berbanding Malaysia yang menjadikan buah berkenaan sebagai salah satu hidangan wajib pada bulan Ramadan sahaja, penduduk di negara Timur Tengah dan beberapa negara di Afrika Utara seperti Mesir, Algeria dan Tunisia menjadikan buah kurma sebagai makanan utama mereka.

 

pix3

 

Darah Tinggi

Sebelum melakukan semakan lanjut, MyCheck jelaskan secara ringkas mengenai penyakit darah tinggi dan kencing manis.

Tekanan darah tinggi berlaku apabila darah mengalir melalui saluran darah (arteri) pada tekanan yang lebih tinggi daripada normal.

Menurut portal HelloDoktor, individu yang mempunyai tekanan darah tinggi biasanya tidak mengalami simptom dan berasa sihat.

Kebanyakan pesakit mengetahui tentang keadaan ini apabila mereka menjalani pemeriksaan rutin dengan doktor.

Memetik portal itu lagi, lebih tinggi tahap tekanan darah seseorang individu, maka lebih banyak risiko untuk masalah kesihatan lain seperti penyakit jantung, serangan jantung dan juga strok.

 

pix4

 

Kencing Manis

Penyakit kencing manis pula berlaku apabila insulin di dalam badan tidak mencukupi atau tidak berkesan, sekali gus menyebabkan paras glukos (gula) meningkat dalam darah dan berlakunya penyakit tersebut yang dikenali dengan nama saintifik Diabetes Mellitus.

Menurut portal MyHEALTH, individu yang mengalami kencing manis akan menunjukkan beberapa simptom seperti penglihatan kabur, penyakit kulit yang berterusan, luka lambat sembuh, jangkitan pada sistem pembuangan air kecil dan kemaluan serta kebas kaki.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa yang dipetik menerusi portal berita Malaysia Gazette mendedahkan penyakit kencing manis kini dihidapi oleh satu daripada lima orang dan ini amat membimbangkan kerana melibatkan 11.5 peratus populasi Malaysia.

 

pix5

 

Pandangan Pakar

Kembali kepada persoalan utama, adakah pesakit darah tinggi dan kencing manis tidak boleh makan buah kurma sebagaimana dakwaan?

Kami menemukan pandangan beberapa pakar perubatan yang mengupas isu ini.

 

Kandungan Serat Kurma Bantu Paras Glukosa

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kesihatan Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Prof Madya Dr Wan Nudri Wan Daud  berkongsi beberapa fakta menarik mengenai buah kurma.

Menurut beliau kandungan serat dalam buah kurma amat baik untuk membantu mengawal paras glukosa darah, sekali gus memperlahankan penyerapan gula dalam darah serta mengelakkan masalah pemuncakan paras glukosa darah selepas makan.

Pandangan sama turut dikongsikan oleh seorang pengamal perubatan, Dr Norman Mohd Norawi yang berkongsi kebaikan serat dalam buah kurma kepada pesakit kencing manis.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau menjelaskan pengambilan serat daripada buah kurma bukan sahaja membantu mengawal paras glukosa darah malah kandungan serat dalam buah kurma amat tinggi berbanding granola bar yang merupakan sejenis snek ringan.

Kandungan 7 gram serat dalam 3.5 oz hidangan buah kurma adalah lebih tinggi berbanding kandungan serat dalam granola bar dan kandungan serat berkenaan amat penting dalam membantu menurunkan berat badan.

“Serat juga penting untuk perkembangan dan pembiakan kuman baik probiotik iaitu ia bertindak sebagai prebiotik. Serat amat penting untuk pergerakan usus dan melawaskan membuang air besar,” jelas Dr Norman.

 

Kurma Mempunyai Nilai Indeks Glisemik Yang Rendah

Satu lagi fakta menarik yang mungkin ramai di antara kita yang tidak tahu adalah buah kurma mempunyai nilai Indeks Glisemik (GI) yang rendah berbanding beberapa buah-buahan lain.

Memetik laporan Dewan Masyarakat, nilai GI buah kurma adalah di antara 35.5 hingga 47.2 adalah setanding atau lebih rendah berbanding dengan buah epal (GI=36), pisang (GI=53), limau oren (GI=43), dan buah kiwi (GI=53).

GI mengukur berapa cepat makanan yang mengandungi karbohidrat meningkatkan paras gula dalam darah seseorang selepas makanan tersebut diambil.

Terdapat satu kajian pada 2011 yang menyatakan bahawa tiada peningkatan gula darah secara mendadak dalam kalangan pesakit diabetes sekiranya mereka mengambil lima jenis kurma yang berbeza yang mempunyai kandungan gula semula jadi yang tidak sama.

Kajian yang diketuai oleh Dr Juma M Alkaabi daripada Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Emiriah Arab Bersatu telah membandingkan nilai Gl antara kumpulan pesakit diabetes jenis 2 dan kumpulan kawalan selepas diberi makan lima jenis buah kurma dalam kuantiti 50 g karbohidrat sehari pada hari yang berlainan.

Kajian itu mendapati tiada perbezaan signifikan nilai Gl di antara kedua-dua kumpulan untuk kelima-lima jenis buah kurma tersebut.

Bahkan pengambilan kelima-lima jenis kurma oleh pesakit diabetes tidek menyebablan peningkatan glukosa darah 2-Hour Postprandial Glucose (2HPP).

2HPP dikenali sebagai pemeriksaan glukosa dua jam selepas makan dan bertujuan untuk menguji keberkesanan pankreas mengeluarkan insulin bagi mengawal gula.

 

Buah Kurma Bagus Untuk Pesakit Darah Tinggi?

Sebuah komuniti perubatan yang dianggotai pelbagai doktor perubatan dan aktif berkongsi petua dan nasihat berkaitan kesihatan di laman Facebook iaitu Medical Mythbusters Malaysia  turut berkongsi fakta menarik mengenai buah kurma.

Buah kurma sebenarnya mengandungi kandungan garam sodium yang rendah dan tidak membawa kesan mudarat kepada pesakit darah tinggi.

Garam mineral yang lain terkandung dalam buah kurma adalah seperti, kalsium, mangan, magnesium, fosforus, zink dan copper.

Sebuah laman sesawang bebas yang berkongsi pelbagai tips mengenai fesyen, gaya hidup dan kesihatan, weekand.com mendedahkan buah kurma sangat bagus kepada pesakit darah tinggi.

Hal ini disebabkan kehadiran sodium yang rendah selain kaya dengan potassium iaitu sejenis garam mineral dalam buah kurma membantu individu yang mengalami masalah tekanan darah tinggi.

Empat biji buah kurma adalah bebas daripada sodium selain mengandungi 700 miligram potassium dan jumlah berkenaan menyamai 25 peratus daripada nilai pengambilan makanan berkhasiat.

Potassium membantu menurunkan tekanan darah dengan mengurangkan kehadiran sodium daripada badan seseorang individu dan mengurangkan tekanan dalam saluran darah manusia.

Malahan Persatuan Jantung Amerika Syarikat sendiri mengesyorkan pengambilan makanan yang kaya dengan potassium seperti buah kurma bagi kesihatan jantung yang lebih baik.

 

Bagaimana Pula Kurma Dan Pesakit Kencing Manis?

Menurut portal HelloDoktor, buah kurma jika diambil dalam kadar yang sederhana, bukan sahaja selamat dimakan bahkan bermanfaat untuk kesihatan pesakit diabetes.

Kajian menunjukkan bahawa, kebanyakan jenis kurma mempunyai nilai GI antara 44 hingga 53, bergantung kepada jenisnya.

Menurut portal itu, terdapat kajian menyatakan pesakit diabetes boleh memakan antara enam hingga lapan biji buah kurma kering (Tamar) dan lapan hingga 10 biji kurma segar (Rutab) dalam sehari.

Ada juga kajian lain menyatakan bahawa pesakit diabetes boleh mengambil tujuh hingga 10 biji kurma dalam sehari.

Kajian ini menyatakan bahawa tiada peningkatan gula darah secara mendadak dalam kalangan pesakit diabetes jika mereka mengambil kurma dengan jumlah ini.

Namun, pesakit diabetes hanya boleh memakan antara satu hingga dua biji kurma sahaja dalam satu-satu masa.

 

pix6

 

Ambil Secara Sederhana

Maka, walaupun buah kurma bagus untuk kesihatan, ia sebenarnya tidak digalakkan diambil secara berlebihan.

Menurut Facebook Medical Mythbusters Malaysia, pesakit diabetes dinasihatkan untuk berwaspada dengan pengambilan buah kurma.

Ini kerana setiap 100 gram buah kurma akan menyumbang jumlah tenaga sebanyak 277Kcal atau 14 peratus pengambilan harian disyorkan (RDI) iaitu bersamaan dengan dua senduk nasi minyak (150 gram).

Ini bermaksud pengambilan kurma yang berlebihan akan meningkatkan jumlah kalori dalam badan.

Pengambilan kalori melebihi keperluan boleh menyumbang kepada beberapa masalah kesihatan lain seperti obesiti atau kegemukan selain boleh meningkatkan risiko penyakit tidak berjangkit seperti penyakit jantung.

Kalori merupakan tenaga yang terhasil daripada proses pembakaran makanan dalam tubuh.

 

pix7

 

Mengulas mengenai pengambilan kuantiti kurma, Dr Norman menerusi hantaran di Facebook mengingatkan orang ramai untuk berwaspada dengan pengambilan buah kurma secara berlebihan.

Ini kerana buah kurma mempunyai kandungan gula yang tinggi dan pengambilan secara berlebihan adalah tidak digalakkan.

“Berdasarkan hadith Nabi Muhammad SAW yang menggalakkan pengambilan kurma Ajwa sebanyak 7 biji setiap hari adalah jumlah yang baik dan boleh kita amalkan. Jadikan pengambilan buah kurma setiap hari sebagai satu tabiat pemakanan sihat untuk kesihatan yang lebih baik. Insyaallah,” jelas Dr Norman.

 

Semakan Pihak Lain

MyCheck turut menatal informasi di enjin carian Google dan mendapati dakwaan ini sudah disemak oleh beberapa badan semakan fakta seperti tribunnewswiki.com, Liputan6.com dan jawa pos.

Memetik tribunnewswiki.com, individu yang menghidap penyakit kencing manis boleh makan buah kurma namun dalam kuantiti yang sederhana.

Laman sesawang liputan6.com pula menyatakan bahawa makan buah kurma boleh mengurangkan risiko penyakit kencing manis selain mencegah beberapa penyakit kronik seperti kanser dan alzheimer atau penyakit otak yang menyebabkan penurunan daya ingatan manusia.

Artikel yang dikeluarkan oleh jawa pos pula memetik kenyataan daripada pakar dietetik dari Amerika Syarikat, Jessica Bippen yang mendedahkan bahawa kurma amat baik untuk diamalkan kerana mengandungi Indeks Glisemik yang rendah.

Bippen memaklumkan bahawa buah kurma memiliki serat larut yang membantu menurunkan kolesterol LDL dan serat tersebut mengikat kolesterol berkenaan dan mencegah penyerapannya ke dalam aliran darah.

Kolestrol LDL (Lipoprotein ketumpatan rendah) merupakan sejenis kolestrol jahat yang terkumpul di dinding arteri jantung dan boleh menyebabkan saluran arteri menjadi keras dan sempit sehingga boleh membawa kepada serangan jantung.

 

KESIMPULAN

Kami mengklasifikan dakwaan bahawa pesakit darah tinggi dan kencing manis tidak boleh makan kurma adalah tidak benar.

Walaupun buah kurma mempunyai pemanis semula jadi namun ia tidak akan meningkatkan paras glukos (gula) di dalam badan pesakit darah tinggi atau kencing manis.

Hal ini kerana buah kurma mengandungi GI yang rendah dan sesuai diamalkan bagi mereka yang ingin mengamalkan pemakanan sihat dan seimbang.

Pelbagai kajian menunjukkan pengambilan buah kurma bagus untuk semua golongan tanpa mengira usia, namun perlu diambil pada kuantiti yang sedikit bagi sesetengah individu yang menghidap penyakit berbahaya seperti darah tinggi dan kencing manis.

Nasihat kami semak dahulu kebaikan sesuatu makanan berbanding menyebarkan keburukannya yang belum pasti benar ataupun sebaliknya.

Jadilah pengguna yang bijak dalam memilih produk makanan dan sentiasa berwaspada dengan jumlah kalori yang masuk ke dalam badan kita.

Sedap manis jangan ditelan, pahit jangan dimuntahkan bermaksud sebarang dakwaan orang hendaklah dipertimbangkan terlebih dahulu sebelum diterima atau ditolak.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Khasiat buah kurma dari perspektif sains kesihatan.Diterbitkan oleh Dewan Masyarakat

  2. Tekanan Darah Tinggi/Hipertensi.Diterbitkan oleh portal MyHEALTH

  3. Kencing Manis.Diterbitkan oleh portal MyHEALTH

  4. Facebook Dr Norman Norawi

  5. Facebook Medical Mythbusters Malaysia

  6. Facebook Dr Noordin Darus

  7. CEK MITOS, Amankah Penderita Diabetes Mengonsumsi Kurma Kering yang Manis?Diterbitkan oleh Tribunnewswiki.com

  8. 14 Manfaat Kurma Bagi Kesehatan Tubuh, Cegah Penyakit Kronis dan Diabetes.Diterbitkan oleh liputan6.com

  9. Boleh Dikonsumsi Penderita Diabetes, Ini 5 Manfaat Makan Kurma.Diterbitkan oleh jawapos.com

  10. Manfaat kandungan buah kurma sebagai pencegah penyakit stroke.Diterbitkan oleh Universiti Jember Jawa Timur Indonesia