Kpkt Akan Perluas Lima Mesin Kompos Mini Di Lima Kosis

20/06/2023 01:58 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memperluas penggunaan teknologi mesin kompos dengan menyediakan lima mesin kompos mini berkapasiti 20 kilogram (kg) sehari di lima Pusat Komuniti Sifar Sisa (KOSIS) pada suku keempat 2023.

Timbalan Menterinya Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata lima pusat KOSIS yang terlibat ialah Program Perumahan Rakyat (PPR) Desa Mutiara dan PPR Kempas Permai di Johor Bahru, Johor; PPR Lembah Subang 2 Petaling Jaya, Selangor; Projek Perumahan Kos Rendah Pinggiran Putra Kuantan, Pahang dan Rumah Pangsa Jalan Hospital Ipoh, Perak. 

“Inisiatif ini adalah bagi membolehkan komuniti untuk membudayakan amalan kitar semula di samping menggalakkan aktiviti pengkomposan menggunakan sisa makanan,” katanya di Dewan Negara hari ini. 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Lim Pay Hen mengenai perancangan KPKT dalam memperluas penggunaan mesin kompos penghasilan baja daripada sisa makanan keluaran Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) ke seluruh Malaysia. 

Pada masa sama, Akmal Nasrullah berkata pihaknya juga dalam perancangan awal untuk menempatkan tiga unit mesin kompos dengan kapasiti 100 kg sehari di institusi di bawah Jabatan Penjara Malaysia pada tahun depan iaitu di Pusat Koreksional, Perlis; Penjara Penor, Pahang dan Penjara Kluang, Johor. 

Sementara itu, beliau berkata pelaksanaan Kempen Kompos @ Bazar seperti mesin kompos ditempatkan di Bazar Ramadan Mahkota Square, Kuantan yang dianjurkan KPKT melalui SWCorp mengumpulkan 190 kg sisa makanan hasil pengumpulan daripada pengunjung dan peniaga bazar sekali gus berjaya menghasilkan hampir 50 kg baja kompos.

“Selain itu, KPKT juga menempatkan mesin kompos berskala kecil di PPR Pinggiran Putra Kuantan dengan kapasiti sebanyak 20 kg per hari. Sehingga kini, sebanyak 87 kg sisa makanan telah dirawat dan 26 kg baja kompos dihasilkan,” katanya.

-- BERNAMA