Ijn Raikan Penyiapan Bangunan Baharunya

15/09/2023 05:07 PM

KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) -- Dengan sempurnanya acara khas 'Topping Out' bangunan baharu Institut Jantung Negara (IJN) di sini, ia menandakan bangunan yang siap tersedia itu kini menyerlahkan pencapaian cemerlang IJN dalam usaha berterusannya melaksanakan penambahbaikan sepanjang masa untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada pesakit dan masyarakat umum.

IJN dalam kenyataan hari ini berkata fasa pertama bangunan baharu dalam pelan peluasan institut itu disasar untuk mengukuhkan penyampaian perkhidmatannya, di samping meningkatkan pengalaman menarik bagi pesakit di hospital, yang memberi tumpuan kepada usaha menaik taraf kemudahan sedia ada bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan dan menyokong keseimbangan aspek ‘kehidupan-kerja’ dalam kalangan kakitangannya.

"Bangunan ini dijangka beroperasi pada suku pertama 2024," menurut kenyataan itu.

Peningkatan kemudahan yang disediakan termasuk penyediaan tempat letak kereta pintar bertingkat yang baharu, dengan teknologi pengecaman muka dan plat yang dipertingkatkan, jaminan keselamatan, dan sejumlah 1,221 tempat letak kereta serta ruang letak kereta khas tambahan untuk pemandu kurang upaya, di samping penyediaan kenderaan elektrik untuk mengurangkan melancarkan pergerakan dan mengurangkan kesesakan.

Selain itu, kemudahan dapur tercanggih sedang dibina bagi menggantikan kemudahan lama pusat itu, yang boleh memuatkan 800 hidangan setiap hari, di samping dapat menawarkan penyediaan masakan berkhasiat yang lebih pelbagai bagi memenuhi citarasa tempatan dan antarabangsa.

IJN berkata bangunan baharu itu juga akan mampu menerima sehingga 2,000 jemah ke surau baharu yang menawarkan ruang solat yang lebih luas dan selesa untuk kakitangan dan orang ramai, khususnya pada majlis-majlis penting seperti solat Jumaat, majlis di bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Selain itu, fasa pertama peluasan akan menyaksikan pemindahan Pusat Asuhan Kanak-Kanak IJN semasa, bagi membolehkan kakitangan IJN berada lebih dekat dengan premis pusat itu di Jalan Tun Razak.

"Ini bukan sahaja akan mengurangkan masa berulang-alik ibu bapa, tetapi juga memboleh mereka bekerja dengan tenang," menurut kenyataan itu.

IJN berkata Pusat Asuhan Kanak-Kanak itu menawarkan perkhidmatan 24 jam, dengan persekitaran yang selamat, kondusif untuk kanak-kanak belajar, bermain dan membesar, dan ia akan dapat menampung kehadiran 150 kanak-kanak berumur antara dua dan enam tahun.

Susulan penyiapan bangunan ini, IJN akan meneruskan fasa kedua dan terakhir langkah peluasan hospital pelbagai disiplin itu dengan pembinaan bangunan 11 tingkat yang dilengkapi teknologi canggih, klinik khusus tambahan, makmal jantung dan 120 katil, yang dijadualkan dibuka pada 2027.

IJN berkata pelan pembangunan itu sejajar dengan rangka kerja Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), yang menekankan keupayaan organisasi untuk memperjuangkan kelestarian alam sekitar, amalan bertanggungjawab sosial dan tadbir urus beretika.

Dalam kenyataan sama, ketua pegawai eksekutif IJN Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim dipetik berkata pelan pembesaran itu juga berfungsi untuk melengkapkan status institut itu sebagai finalis dalam inisiatif Flagship Medical Tourism Hospital Programme yang digerakkan kerajaan.

"Dengan mengamalkan prinsip ESG, kami bercita-cita untuk meningkatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan kami dan berkembang mengikut keperluan pesakit kami.

"Selaras dengan misi kami untuk menyediakan penjagaan yang boleh diakses dan berkualiti tinggi, kami sentiasa bersemangat untuk menyumbang untuk kebaikan masyarakat dan alam sekitar. IJN cukup teruja dengan impak positif yang akan dicetuskan menerusi peluasan bangunan kami terhadap ekosistem penjagaan kesihatan tempatan," katanya.

Di samping Dr Aizai Azan, pengerusi IJN Holdings, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan pengerusi IJN Sdn Bhd, Datuk Dr Abdul Rozali A Wathooth mengetuai majlis ‘topping out’ yang diadakan di tapak bangunan baharu itu yang menyaksikan penanaman pokok secara simbolik untuk menyaksikan kemajuan yang dicapai di bangunan baharu itu sehingga kini.

-- BERNAMA