Aman Palestin Salur Bantuan Secara Terus Kepada Penduduk

21/11/2023 07:45 PM

BANGI, 21 Nov (Bernama) -- Aman Palestin Bhd, sebuah syarikat yang tidak berteraskan keuntungan bagi membantu rakyat Palestin, menyalurkan bantuan dan sumbangan wang tunai orang awam secara terus kepada penduduk di Gaza dan Tebing Barat melalui pejabatnya di Palestin.

Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin Awang Suffian Awang Piut berkata pejabat Aman Palestin di Gaza yang dibuka sejak 2009, berfungsi sebagai pusat pengumpulan barangan bantuan sebelum diagihkan kepada penerima. 

"Kami menyalurkan bantuan secara terus kepada penduduk Palestin tanpa melalui Kedutaan Palestin di Malaysia, dan kami memastikan semua projek bantuan yang disalurkan mengikut prosedur operasi standard dan prosedur tertentu yang telah ditetapkan.

"Kami mempunyai pejabat sendiri di Palestin untuk membolehkan bantuan dihantar terus dengan lebih pantas ke Gaza, Tebing Barat dan kawasan-kawasan lain yang memerlukan," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Bagi pergerakan sumbangan ke Baitulmaqdis dan Tebing Barat, beliau berkata pihaknya mempunyai wakil yang menguruskan bantuan di sana yang juga di bawah kendalian dan pemantauan pejabat Aman Palestin di Gaza.

Awang Suffian berkata pada awal bulan ini, Aman Palestin telah menyalurkan sebanyak RM3 juta merangkumi bantuan berbentuk kewangan, makanan panas, perubatan dan pembelian dua ambulans untuk disumbangkan kepada rakyat Palestin.

Aman Palestin juga telah menyiapkan 13 projek infrastruktur di Palestin selain mengagihkan bantuan dalam bentuk program tahunan menerusi kempen Bantuan Ramadan Bersamamu, Bantuan Ibadah Korban di Bumi Anbia, Bantuan Musim Sejuk, Bantuan Bread for Love dan Tajaan Bulanan Kafalah (anak yatim, keluarga miskin, ibu tunggal dan dana pendidikan).

"Melalui kempen-kempen ini, secara purata puluhan juta ringgit lagi telah disalurkan setiap tahun tanpa gagal meliputi lokasi penerima manfaat bukan sahaja di dalam Palestin bahkan pelarian Palestin yang berada di Syria, Lubnan dan Yaman," katanya.

Beliau berkata sejak penubuhannya pada 2006, Aman Palestin telah mengetuai lebih 56 misi kemanusiaan dan turun padang bagi menyalurkan bantuan di samping melawat tapak pembinaan projek atau program Aman Palestin yang masih berjalan di Palestin, Syria, Lubnan, Yaman, Turkiye, Bangladesh dan Indonesia.

"Kami juga pernah mengetuai sebuah misi sukarelawan ke Gaza disertai 121 orang pada 2012. Pada ketika itu sekatan sempadan tidaklah seketat hari ini.

"Kesemua sukarelawan terlibat dapat menjadi saksi penyaluran bantuan Aman Palestin seterusnya melihat sendiri kesengsaraan penduduk Palestin dengan harapan mereka dapat menyampaikan pengalaman tersebut kepada rakyat Malaysia setelah pulang ke tanah air," katanya.

Dalam pada itu, Awang Suffian turut melahirkan rasa kesal terhadap dakwaan bahawa pihaknya tidak menyalurkan wang sumbangan awam kepada Palestin kerana ia memberi persepsi buruk kepada pertubuhan itu.

Beliau berkata walaupun kenyataan media telah dibuat bagi menangkis setiap dakwaan namun isu-isu yang tular masih berlegar saban tahun bahkan disebarkan kembali setiap kali tercetusnya konflik di Palestin.

Sementara itu, Pengurus Besar Pemasaran Aman Palestin Muhd Farhan Muhd Fadhil berkata pihaknya melancarkan kempen Bantuan Musim Sejuk sejak awal bulan ini untuk disalurkan kepada penduduk Palestin, Syria dan Yaman.

"Dengan keperluan mendesak bagi membaiki keadaan perang yang terlampau besar, Aman Palestin bertekad mengumpulkan sumbangan sebanyak mungkin, bagi mengagihkan bantuan berbentuk kotak makanan, pemanas dan kerosin, peralatan musim sejuk dan bantuan klinikal," katanya.

Beliau berkata Aman Palestin bercadang menghantar Misi Bantuan Musim Sejuk ke Syria pada pertengahan Disember ini.

-- BERNAMA