Pasaran Soya Lemah, Niaga Hadapan Msm Ditutup Rendah

17/01/2024 10:28 PM

Oleh Kisho Kumari Sucedaram

KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives mengakhiri dagangan Rabu dengan lebih rendah, susulan kelemahan di pasaran minyak soya di Lembaga Dagangan Chicago (CBOT) serta penurunan harga minyak mentah, kata peniaga.

Berikutan itu, Peniaga Minyak Sawit David Ng berkata pihaknya melihat paras sokongan pada RM3,750 satu tan.

“Paras rintangan segera pula pada RM3,900 satu tan,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani berkata isu berkaitan pengeluaran serta permintaan ketika bulan Ramadan telah mempengaruhi minat terhadap komoditi itu walaupun keadaan sedikit terjejas India yang juga pembeli utama.

“Tindakan pembeli China melanjutkan pembelian minyak sawit menjadi pendorong permintaan minyak sawit pada masa ini," katanya. 

Sewaktu urus niaga ditutup hari ini, kontrak bulan semerta Februari 2024 turun RM23 kepada RM3,855 satu tan; Mac 2024 susut RM39 kepada RM3,836 satu tan; April 2024 berkurangan RM44 kepada RM3,815 satu tan, Mei 2024 merosot RM38 kepada RM3,772 satu tan, Jun 2024 susut RM25 kepada RM3,713 satu tan manakala Julai 2024 menguncup RM16 kepada RM3, 654 satu tan.

Selain itu, jumlah dagangan berkurangan kepada 80,248 lot daripada 96,711 semalam manakala kepentingan terbuka susut kepada 282,168 kontrak daripada 295,320 kontrak sebelum ini. 

Harga MSM fizikal bagi Januari Selatan pula turun RM30 kepada RM3,880 satu tan. 

-- BERNAMA