LATIH DIRI DI BULAN REJAB

18/01/2024 09:59 AM

Oleh: Kazzman Kamaruzzaman

 

Bulan Rejab merupakan bulan ketujuh dalam tahun Hijrah dan ia adalah antara bulan haram dalam Islam. Bulan haram bermaksud bulan yang dihormati dan dimuliakan. Bulan-bulan haram ialah Rejab, Zulkaedah, Zulhijah dan Muharam. Malah, orang-orang Arab pada zaman jahiliah juga sangat meraikan kedatangan bulan-bulan haram. Ini kerana peperangan diharamkan dalam bulan-bulan tersebut walaupun kehidupan mereka dipenuhi dengan kesesatan dan penyembahan berhala. Lantaran itu, sektor ekonomi seperti peniagaan dan perdagangan berkembang pesat pada bulan-bulan itu.

 

Abi Bakrah (R.A) meriwayatkan Nabi (S.A.W) bersabda: “Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan yang haram iaitu tiga daripadanya berturut-turut (Zulkaedah, Zulhijah dan Muharram) dan yang keempatnya adalah Rejab Mudhar yang terletak antara Jamadil Akhir dan Sya'ban.” (Riwayat al-Bukhari)

 

 

Kelebihan bulan Rejab

 

Kelebihan bulan Rejab disebutkan oleh Imam Ibn Kathir dalam kitab tafsirnya. Beliau menukilkan pendapat Ibn Abbas (R.A) yang menjelaskan bahawa setiap kezaliman yang dilakukan dalam bulan haram ini, dosanya lebih besar berbanding bulan-bulan lain. Begitu juga, amal soleh yang dilakukan pada bulan ini adalah lebih besar (pahalanya) berbanding dengan bulan-bulan yang lain (Tafsir Ibn Kathir, 4:130). Justeru, umat Islam dinasihatkan supaya menggandakan amal ibadah dan mengelakkan diri daripada terjerumus dalam kemaksiatan dan kemungkaran.

 

Bulan Rejab juga dipanggil sebagai bulan Mikraj kerana pada bulan ini terdapat peristiwa agung “Israk dan Mikraj”. Oleh itu, agama Islam menuntut umatnya untuk menghidupkan bulan ini dengan amalan-amalan ibadah walaupun tiada amalan khusus untuk dikerjakan berdasarkan riwayat yang sahih. Peristiwa agung itu diriwayatkan berlaku pada 27 Rejab iaitu perjalanan Baginda Rasulullah SAW dari Makkah ke Baitul Maqdis pada waktu malam dan ketika itu juga dada Baginda SAW sekali lagi dibelah. Baginda kemudian diangkat ke langit  sehingga ke Sidratul-Muntaha untuk bertemu dengan Allah dan Allah telah memerintahkan kewajiban ibadah solat fardu 5 waktu sehari kepada umat Islam.

 

 

Ramadan semakin hampir

 

Ketibaan bulan Rejab yang mulia ini menandakan bulan Ramadan al-Mubarak semakin hampir. Pada bulan Ramadan, kita diwajibkan berpuasa dan kebiasaannya kita juga rajin menunaikan solat fardu secara berjemaah bagi mengejar gandaan pahala, maka bulan Rejab dianggap sebagai bulan latihan.

 

Imam Muslim meriwayatkan bahawa ‘Uthman bin Hakim al-Ansari beliau (‘Uthman) pernah bertanya Sa’id bin Jubayr (R.A) mengenai puasa Rejab. Sa’id menjawab: "Aku mendengar Ibn Abbas (R.A) mengatakan: “Rasulullah SAW berpuasa Rejab sehingga kami menyangka Baginda tidak berbuka (terus-menerus berpuasa) dan Baginda berbuka sehingga tidak nampak berpuasa.” (Riwayat Muslim)

 

Pertingkatkan amalan

 

Begitu juga dengan amalan menunaikan solat fardu secara berjemaah, jika sebelum ini kita culas menunaikan solat fardu berjemaah secara konsisten kerana kesibukan dengan urusan harian, maka gunakanlah ketibaan bulan Rejab sebagai latihan untuk melazimi diri kita dengan menunaikan solat fardu secara berjemaah.

 

Dewasa ini viral di media sosial seorang selebriti tanahair, Alif Satar gigih melancarkan kempen #GengSubuhMacamJumaat yang mendapat sambutan yang menggalakkan. Ia merupakan satu inisiatif yang baik sebagai motivasi agar umat Islam menunaikan solat fardu secara berjemaah di masjid atau surau. Jadikanlah ketibaan bulan Rejab ini sebagai latihan bagi mempersiapkan diri untuk menghadapi bulan Ramadan yang bakal berkunjung tiba.

 

Anas bin Malik (R.A) menceritakan bahawa Nabi SAW apabila memasuki bulan Rejab, maka Baginda mengatakan: “Ya Allah, berkatilah kami di bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadan).” (Riwayat al-Bazzar, al-Tabrani dan al-Bayhaqi)

 

Justeru, selaku hamba yang taat dan sebagai persediaan untuk menuju kepada bulan Ramadan yang bakal tiba, maka wajarlah bulan ini dihidupkan dengan amalan yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW.

 

-- BERNAMA

 

Kazzman Kamaruzzaman ialah Ketua Jabatan Ilmu Wahyu, Pusat Asasi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.