Niaga Hadapan Msm Ditutup Tinggi

19/01/2024 09:35 PM

Oleh Kisho Kumari Sucedaram

KUALA LUMPUR, 19 Jan (Bernama) --  Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi untuk hari kedua berturut-turut, meneruskan momentum kenaikan pada Khamis dan mengulangi sentimen minyak sayuran China di Bursa Komoditi Dalian (DCE).

Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani berkata tindakan kenaikan itu juga disebabkan pengeluaran minyak sawit Malaysia dan Indonesia yang terhad secara bermusim serta jangkaan permintaan untuk bulan Ramadan pada Mac depan.

"Pembelian dari China baru-baru ini turut membantu pasaran minyak sawit berakhir lebih tinggi manakala kenaikan semula dalam harga minyak mentah telah menambah sokongan seterusnya," katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Februari 2024 naik RM33 kepada RM3,962 satu tan metrik, Mac 2024 melonjak RM44 kepada RM3,914 setan metrik dan April 2024 menokok RM44 kepada RM3,939 satu tan metrik.

Sementara itu, kontrak Mei 2024 menambah RM47 kepada RM3,896 satu tan, Jun 2024 naik RM50 kepada RM3,833 setan dan Julai 2024 melonjak RM51 kepada RM3,767 satu tan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 71,821 lot daripada 63,364 lot pada Khamis dan kepentingan terbuka turun kepada 210,844 kontrak daripada 262,492 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Januari Selatan melonjak RM20 kepada RM3,960 satu tan metrik.

-- BERNAMA