Niaga Hadapan Msm Ditutup Tinggi Untuk Hari Ketiga Berturut-turut
Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih tinggi untuk hari ketiga berturut-turut sejajar dengan kenaikan harga minyak kacang soya di Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT).
Peniaga minyak sawit David Ng berkata kebimbangan berterusan terhadap pengeluaran yang lebih rendah dan paras stok yang berpotensi lebih rendah di negara ini turut menaikkan sentimen pasaran.
“Kami mendapati paras sokongan pada RM3,750 satu tan dan paras rintangan pada RM3,950 satu tan,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani berkata niaga hadapan MSM ditutup lebih tinggi berikutan niaga hadapan minyak kacang soya CBOT yang lebih kukuh dan data Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) yang positif, menunjukkan pengeluaran minyak sawit Malaysia turun sebanyak 11 peratus pada Januari 2024.
“Bagaimanapun, kekurangan pembelian susulan di Bursa Malaysia Derivatif untuk beberapa sesi terakhir kini mencetuskan pendekatan yang berhati-hati,” katanya.
Anilkumar berkata harga minyak sawit di Malaysia dan Indonesia adalah lebih kukuh, berikutan permintaan yang dijangka kembali meningkat bagi minyak sayuran dari China memandangkan kejatuhan harga minyak bijian republik itu semakin perlahan.
“Musim sejuk juga semakin berlalu di pasaran-pasaran destinasi utama, seperti China dan India. Selain itu, ketibaan Ramadan pada awal Mac akan menjadi pencetus dalam permintaan,” tambahnya.
Menurut Anilkumar, China tidak banyak mengimport komoditi itu untuk Februari dan Mac dan ia mungkin cuba meningkatkan minyak sayuran untuk festival musim bunga akan datang.
“Tetapi masalah untuk minyak sawit ialah liputannya yang terhad berbanding minyak campuran, terutamanya terhadap minyak bunga matahari Laut Hitam dan melainkan pemulihan yang signifikan pada harga minyak bunga matahari, julat harga minyak sawit yang lebih tinggi tidak mungkin dapat dikekalkan,” katanya.
Pada penutup dagangan, kontrak bagi bulan semerta Februari 2024 meningkat RM67 kepada RM3,930 satu tan, Mac 2024 naik RM46 kepada RM3,928 satu tan, April 2024 melonjak RM34 kepada RM3,877 satu tan, Mei 2024 bertambah RM20 kepada RM3,807 satu tan, Jun 2024 naik RM12 kepada RM3,743 satu tan dan Julai 2024 naik RM9 kepada RM3,697 satu tan.
Jumlah dagangan bertambah kepada 68,735 lot daripada 64,570 lot pada Selasa dan kepentingan terbuka meningkat kepada 213,967 kontrak daripada 212,608 kontrak sebelumnya.
Harga MSM fizikal untuk Februari Selatan meningkat sebanyak RM30 kepada RM3,950 setan.
-- BERNAMA