Masa Hadapan Msm Ditutup Lebih Tinggi Dengan Jangkaan Inventori Yang Rendah
Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih tinggi hari ini, didorong oleh jangkaan tahap inventori yang lebih rendah di negara ini.
Peniaga minyak sawit David Ng berkata paras stok yang lebih rendah dijangka akan bertahan sehingga selepas cuti Tahun Baru Cina, oleh itu ia merangsangkan sentimen dalam tempoh terdekat.
“Kami melihat sokongan pada paras RM3,800 satu tan dan rintangan pada RM3,950 satu tan,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani berkata niaga hadapan MSM merapatkan jurang untuk ditutup tinggi berikutan kenaikan semalaman dalam niaga hadapan minyak kacang soya Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT) selain lonjakan dalam harga minyak kacang soya Amerika Selatan.
“Kenaikan harga juga dilihat selepas pasaran menyonsang dengan harga terdekat yang agak tinggi susulan kekurangan bekalan serta jangkaan pemulihan permintaan dari China dan India ketika musim sejuk semakin berakhir, sementara itu, pembelian jangka pendek berkaitan Ramadan juga berkemungkinan berlaku,” katanya.
Pada penutup, bulan semerta Februari 2024 meningkat RM3 kepada RM3,920 satu tan, April 2024 menambah RM10 kepada RM3,884 satu tan, Mei 2024 naik RM23 kepada RM3,830 satu tan, Jun 2024 menokok RM28 kepada RM3 ,768 satu tan dan Julai 2024 melonjak RM31 kepada RM3,719 satu tan.
Bagaimanapun, Mac 2024 susut RM2 kepada RM3,914 satu tan.
Jumlah dagangan merosot kepada 52,052 lot berbanding 73,004 lot yang dicatatkan semalam, manakaka kepentingan terbuka meningkat kepada 218,313 kontrak daripada 216,832 kontrak.
Harga fizikal MSM untuk Februari Selatan kekal tidak berubah pada RM3,970 satu tan.
Bursa Malaysia serta anak syarikatnya akan ditutup pada Isnin depan, 12 Feb, untuk cuti Tahun Baru Cina dan akan beroperasi semula menjelang 13 Feb.
-- BERNAMA