Niaga Hadapan Msm Ditutup Tinggi

13/02/2024 09:37 PM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Kontrak minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi bagi hari kedua berturut-turut hari ini berikutan paras stok yang lebih rendah daripada jangkaan yang mencerminkan situasi bekalan terhad dalam pasaran.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata eksport MSM yang kukuh juga dijangka turut menyumbang kepada sentimen pasaran yang positif dalam tempoh terdekat ini. 

“Kami melihat paras sokongan pada RM3,750 setan metrik dan paras rintangan pada RM4,000 setan metrik,” katanya kepada Bernama. 

Menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), jumlah stok minyak sawit Malaysia susut 11.83 peratus kepada 2.02 juta tan metrik pada akhir Januari 2024 daripada 2.29 juta tan metrik pada Disember tahun lepas.

Dalam laporan terkini prestasi industri bagi Januari 2024, MPOB berkata inventori MSM menyusut sebanyak 11.84 peratus kepada 1.05 juta tan metrik pada bulan lepas daripada 1.20 juta tan metrik pada Disember 2023.

Sementara itu, ketua penyelidik komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai Anilkumar Bagani berkata laporan MPOB itu agak positif apabila stok susut lebih rendah daripada jangkaan dan pengeluaran tidak jatuh melebihi daripada jangkaan pasaran.

Beliau berkata pasaran kini menumpu kepada angka eksport dan pengeluaran pada Februari serta permintaan menjelang Ramadan pada Mac. 

“Tumpuan juga terarah kepada tahap penurunan pengeluaran terutamanya bagi Februari dan Mac,” katanya.

Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Februari 2024 dan Mac 2024 meningkat RM10 setiap satu masing-masing kepada RM3,930 setan metrik dan RM3,924 setan metrik, manakala April 2024 naik RM17 kepada RM3,901 setan metrik.

Kontrak Mei 2024 dan Julai 2024 meningkat RM27 setiap satu masing-masing kepada RM3,857 setan metrik dan RM3,746 setan metrik manakala June 2024 naik RM30 kepada RM3,798 setan metrik.

Jumlah dagangan menokok kepada 72,480 lot daripada 52,052 lot pada Jumaat dan kepentingan terbuka menambah kepada 221,665 kontrak daripada 218,313 kontrak sebelumnya. 

Harga fizikal MSM bagi Februari Selatan tuun RM20 kepada RM3,950 setan metrik. 

-- BERNAMA