Niaga Hadapan Msm Dijangka Diniagakan Cenderung Meningkat Minggu Depan

17/02/2024 10:39 AM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dengan kecenderungan menaik minggu depan disebabkan pengeluaran dan stok simpanan yang lebih rendah.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata simpanan MSM mungkin akan jatuh untuk tempoh sebulan lagi.

"Kami menjangkakan niaga hadapan MSM didagangkan antara RM3,750 satu tan metrik dan RM3,920 setan metrik," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Komoditi Kumpulan Sunvin yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani berkata penggunaan domestik minyak sawit Malaysia dijangka kekal kukuh menjelang bulan Ramadan.

Beliau berpendapat bahawa menjelang akhir bulan Februari, inventori minyak sawit dianggarkan susut di bawah paras psikologi dua juta tan.

Bagi minggu yang baru berakhir, niaga hadapan MSM diniagakan kebanyakannya tinggi berikutan kebimbangan terhadap paras stok yang lebih rendah di negara ini.

Bagi asas mingguan, kontrak bulan semerta Mac 2024 merosot RM4 kepada RM3,910 satu tan, April 2024 jatuh RM27 kepada RM3,857 setan, Mei 2024 berkurangan RM21 kepada RM3,809 satu tan dan Jun menguncup RM23 kepada RM3,745 setan.

Dalam pada itu, kontrak Julai 2024 turun RM29 kepada RM3,690 satu tan manakala Ogos 2024 jatuh RM42 kepada RM3,643 setan.

Jumlah dagangan mingguan jatuh kepada 272,517 lot daripada 310,938 lot minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka naik kepada 227,927 kontrak daripada 218,313 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Februari Selatan berada pada RM3,990 satu tan, meningkat RM10 daripada RM3,970 satu tan minggu lepas.

-- BERNAMA