Niaga Hadapan Msm Ditutup Bercampur-campur
Oleh Anas Abu Hassan
KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup bercampur-campur hari ini berikutan kebimbangan pasaran terhadap pengeluaran dalam tempoh terdekat, kata seorang peniaga.
“Bagaimanapun, harga minyak kacang soya yang lebih kukuh dilihat menyokong pasaran. Kami mengesan paras sokongan pada RM3,800 setan metrik dan paras rintangan pada RM3,950 setan metrik,” kata peniaga minyak sawit David Ng kepada Bernama.
Sementara itu, Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani berpendapat meskipun kadar eksport minyak sawit pada tempoh 1 hingga 20 Feb lebih perlahan, pasaran tidak begitu mengambil kira disebabkan lebih banyak pengurangan pengeluaran ekoran bulan Februari yang lebih singkat dan bulan Ramadan yang akan tiba tidak lama lagi.
Menurut data penyelidik kargo, eksport produk minyak sawit Malaysia bagi tempoh 1 hingga 20 Februari susut kepada 676,949 tan metrik berbanding 828,910 tan metrik pada tempoh yang sama pada Januari, penurunan sebanyak 151,961 tan atau 18.3 peratus,
Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Mac 2024 turun RM7 kepada RM3,971 setan metrik, April 2024 meningkat RM1 kepada RM3,908 setan metrik dan Mei 2024 menokok RM3 kepada RM3,863 setan metrik.
Jun 2024 tidak berubah pada RM3,802 setan metrik manakala Julai 2024 and Ogos 2024 merosot RM6 masing-masing kepada RM3,741 dan RM3,694 setan metrik.
Jumlah dagangan melonjak kepada 101,715 lot daripada 53,060 lot pada Selasa manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 240,043 kontrak daripada 233,386 kontrak.
Harga MSM fizikal bagi Mac Selatan tidak berubah pada RM4,020 setan metrik.
-- BERNAMA