Konvoi Budayakan Al-quran Dari Kelantan Ke Singapura Menjelang Ramadan
KOTA BHARU, 22 Feb (Bernama) -- Seramai 66 peserta akan berkonvoi dari Kelantan ke Singapura menjayakan program Misi Jelajah Bermotosikal Ride To Khatam 3.0 untuk membudayakan al-Quran dalam kalangan masyarakat menjelang Ramadan.
Pengarah Program Ride To Khatam 3.0 Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) Muhammad Amiri Ab Ghani berkata misi itu akan menyaksikan masyarakat termasuk bikers akan membaca al-Quran menerusi persinggahan di 10 masjid.
"Sebanyak 40 motosikal dan lapan kereta berkonvoi selama empat hari bermula hari ini hingga 25 Feb iaitu sejauh lebih 800 kilometer anjuran Bahagian Korporat KIAS dengan Kelantan Bikers dan Pusat ZAG iaitu Pengajian Al-Quran Wal Qiraat, Singapura.
"Kami menjelajah enam negeri (di Semenanjung) iaitu di Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan serta Johor dan berakhir di Singapura dengan membaca, bertadabbur dan khatam al-Quran," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelepasan Misi Jelajah Bermotosikal Ride To Khatam 3.0 di Nilam Puri oleh Rektor KIAS Prof Emeritus Abdul Aziz Mohd Zain di sini, hari ini.
Muhammad Amiri berkata di setiap negeri peserta akan singgah di masjid dan mereka membacakan satu juzuk al-Quran serta diraikan dengan meriah oleh kariah setempat.
"Untuk jelajah kali ini, kami memulakan bacaan pada juzuk ke-21, yang pada program Ride To Khatam 1.0 sebelum ini sudah membacakan 10 juzuk ketika jelajah Kelantan sejak 2022.
"Bagi program Ride To Khatam 2.0 melibatkan jelajah ke negeri utara pada tahun lalu dengan menyambung 10 juzuk lagi dan pada jelajah kali ini dijangka 10 juzuk yang melengkapkan 30 juzuk kesemuanya," katanya.
Masjid yang menjadi persinggahan peserta konvoi ialah Masjid Kampung Lak Lok (Besut) Masjid Abidin (Kuala Terengganu), Masjid Padang Kubu (Kemaman), Masjid Seri Fajar (Gambang), Masjid Muadzam Shah, Masjid Jamek Yamtuan Raden (Kuala Pilah), Masjid Ar-Rasyidin (Alor Gajah), Masjid Sultan Iskandar Dato Onn (Johor Bharu), Masjid An Najah (Johor Bharu) dan berakhir di Masjid al-Islah Punggol (Singapura).
-- BERNAMA