Fama Melaka Sedia Bantu Petani Sukar Jual Hasil Tanaman Elak Lambakan
MELAKA, 23 Feb (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri bersedia membantu pengusaha buah-buahan dan sayur-sayuran yang menghadapi masalah untuk menjual hasil tanaman mereka bagi mengelakkan berlakunya lambakan hasil pertanian di pasaran.
Pengarahnya Nor Azhar Abdul Hamid berkata bantuan berkenaan diberikan sama ada kepada peserta Rakan Pemasar Kontrak Pemasaran (RPKP) atau petani yang tidak berdaftar di bawah FAMA.
"Jika berlaku isu lambakan hasil pertanian sama ada buah-buahan atau sayur-sayuran, FAMA akan mengambil beberapa tindakan segera bagi menanganinya.
Pertama sekali FAMA akan pastikan sama ada petani berkenaan rakan pemasar kita dan mereka lebih mudah dibantu namun sekiranya tidak, FAMA akan cuba beli lambakan itu untuk dipasarkan di saluran pemasaran kita seperti pasar tani," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas perasmian Program Jualan Agro MADANI @ Aeon Bandaraya Melaka yang disempurnakan Timbalan Exco Kemajuan Desa Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Low Chee Leong.
Beliau berkata isu lambakan hasil pertanian sering berlaku dalam kalangan petani yang tidak mendapat khidmat nasihat daripada FAMA dan melaksanakan pemasaran mereka sendiri.
Nor Azhar berkata setakat ini, FAMA Melaka mempunyai sebanyak 100 peserta Rakan Pemasar Kontrak Pemasaran (RPKP) di negeri itu termasuk peserta ladang kontrak.
Dalam perkembangan lain, Nor Azhar berkata sebanyak tujuh Pasar Agro Madani khas akan dianjurkan sempena bulan Ramadan di sekitar Melaka bagi memudahkan pengguna khususnya umat Islam mendapatkan bekalan barangan keperluan asas.
Beliau berkata Pasar Agro Madani khas itu akan dianjurkan di tapak pasar tani sedia ada antaranya di Bukit Katil, Tun Kudu, Jasin, Alor Gajah dan Masjid Tanah.
"Antara barangan keperluan asas dan barangan basah yang dijual ialah daging, ayam, minyak dan gula melibatkan 15 hingga 30 peniaga," katanya.
-- BERNAMA