Strategi Import Beras Indonesia Dianggap Sesuai Hadapi Ketidaktentuan Harga

26/02/2024 05:46 PM

JAKARTA, 26 Feb (Bernama) -- Kerajaan Indonesia, dengan sokongan Agensi Makanan Kebangsaan telah merangka strategi import beras untuk memenuhi keperluan rakyatnya dan menstabilkan pasaran beras yang tidak menentu di tengah-tengah kenaikan harga dan kekurangan bekalan.

Menteri Kewangan Sri Mulyani Indrawati baru-baru ini membangkitkan kebimbangan mengenai kenaikan harga beras sebanyak 7.7 peratus setiap bulan, yang mencapai purata 15,000 rupiah (RM4.58) sekilogram (kg) bulan ini dan kesannya terhadap inflasi bulanan.

Selain itu, Sri Mulyani menyatakan kenaikan harga bawang putih, cili merah, ayam dan telur tetapi tetap berharap dengan menstabilkan jumlah komoditi makanan negara akan membantu mengekang inflasi, terutamanya menjelang Ramadan dan Hari Raya.

Ketua Agensi Makanan Kebangsaan Arief Prasetyo Adi yang menyokong arahan Presiden Joko Widodo untuk mengimport beras sejak tahun lepas, berkata langkah itu penting untuk menjaga stok dan memperkemas pengagihan beras kepada penduduk.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan perlu campur tangan dalam pasaran beras untuk menguruskan turun naik harga dan kekurangan stok Rizab Makanan Kerajaan (CPP).

Kritikan dilemparkan kepada Widodo, juga dikenali sebagai Jokowi, kerana mengimport tiga juta tan beras dari India dan Thailand pada tahun ini, kerana orang ramai bimbang bagaimana keputusan itu boleh menjejaskan petani tempatan kerana cuaca kering berpanjangan akibat El Nino.

Arief berkata import itu bertujuan untuk mengukuhkan CPP dan menstabilkan harga, sambil menyatakan Bulog, agensi pemerolehan makanan negara, sedang giat mengedarkan beras itu ke pasaran.

Bantuan beras 10 kg oleh kerajaan, yang dilancarkan oleh Jokowi pada April 2023, juga akan diteruskan sehingga Jun 2024, memberi manfaat kepada 22 juta keluarga, yang diperoleh daripada Rizab Beras Kerajaan (CBP).

Laporan terbaru daripada persatuan peniaga itu menunjukkan peningkatan harga purata beras premium kepada 18,000 rupiah sekilogram daripada 14,000 rupiah tahun lepas, disebabkan oleh bekalan yang berkurangan dan permintaan yang meningkat.

Arief juga menekankan hubungan antara harga beras dan kos padi, memberi amaran terhadap potensi kenaikan harga berganda jika kos padi antara 8,000 dan 8,500 rupiah terus meningkat.

Walaupun terdapat lebihan 1.3 juta tan metrik pada tahun 2023, pengeluaran beras tempatan secara konsisten tidak mencukupi untuk kegunaan, mengakibatkan defisit yang ketara pada Januari dan bulan ini.

Laporan Pertubuhan Makanan dan Pertanian juga menekankan trend itu, dengan Indeks Harga Semua Beras meningkat sebanyak 1.2 peratus pada Jan 2024 kepada 142.8 mata, menandakan lonjakan 13 peratus daripada bulan yang sama tahun lepas dan tertinggi dalam tempoh empat tahun.

Badan Pusat Statistik (BPS) Indonesia pula mengunjurkan peningkatan kawasan penanaman padi, dengan sasaran hasil sebanyak 5.81 juta tan metrik pada suku pertama tahun 2024.

"Dengan anggaran penggunaan pada 7.62 juta tan, terdapat defisit yang membimbangkan sebanyak 1.81 juta tan," kata Arief.

Untuk mengatasi cabaran yang mungkin dalam pengeluaran tanaman makanan, kerajaan sedang bekerjasama dengan pihak lain dan menggunakan sistem amaran awal oleh BPS untuk meningkatkan CPP.

Kerjasama dengan Kementerian Pertanian bertujuan untuk meningkatkan sasaran penanaman dan penuaian bulanan kepada 2.5 juta tan, dengan unjuran tuaian sebanyak 3.5 juta tan pada Mac, walaupun sebelum ini mengalami penangguhan disebabkan oleh corak iklim El Nino.

“Jika kementerian berjaya mencapai pengeluaran beras sebanyak 2.5 juta tan sebulan pada masa hadapan, kami menjangkakan harga beras akan mula menurun,” kata Arief.

Indonesia menduduki tempat keempat sebagai pengeluar beras terbesar di dunia selepas China, India, dan Bangladesh.

-- BERNAMA