Niaga Hadapan Msm Ditutup Tinggi Menjelang Permintaan Pada Ramadan

26/02/2024 10:03 PM

Oleh Rosemarie Khoo

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi hari ini menjelang permintaan untuk Ramadan dan persidangan minyak sawit Malaysia pada minggu pertama Mac, kata penganalisis.

Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani berkata, keadaan ini berlaku walaupun terdapat penyusutan dalam niaga hadapan minyak sayuran China, penurunan harga minyak mentah pada Jumaat lepas dan penyusutan pengeluaran minyak sawit Malaysia yang lebih rendah berbanding jangkaan sepanjang tempoh 1-20 Februari.

“Selain itu, prestasi eksport yang kurang memberangsangkan mungkin memberikan tekanan terhadap minyak sawit,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, belian daripada negara pengimport masih dilihat tidak menentu dan pembeli utama, iaitu China masih belum menunjukkan isyarat permintaan yang lebih besar terhadap minyak sawit.

Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Mac 2024 meningkat RM18 kepada RM3,987 ​satu tan, April 2024 naik RM17 kepada RM3,921 satu tan, manakala Mei 2024 menokok RM10 kepada RM3,863 satu tan dan Jun 2024 meningkat RM5 kepada RM3,799.

Kontrak Julai 2024 naik RM4 kepada RM3,740 satu tan dan Ogos 2024 meningkat RM1 kepada RM3,690 satu tan.

Jumlah dagangan merosot kepada 47,949 lot daripada 48,313 lot pada Jumaat lepas, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 281,422 kontrak berbanding 238,958 kontrak sebelum ini.

Harga MSM fizikal bagi Mac Selatan kekal pada RM4,020 satu tan.

-- BERNAMA