Maybank Islamic Peruntuk Hampir Rm36 Juta Bagi Csr Tahun Ini

02/03/2024 03:54 PM

JAKARTA, 2 Mac (Bernama) -- Maybank Islamic, cabang perbankan Islam Kumpulan Maybank memperuntukkan hampir RM36 juta untuk inisiatif tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) tahun ini dengan sebahagian daripadanya akan disalurkan untuk masyarakat di Indonesia menerusi beberapa program yang telah dirangka.

Timbalan ketua pegawai eksekutif Maybank Islamic Nor Shahrizan Sulaiman berkata bank itu menyalurkan dana sebanyak lebih RM1.7 juta melalui Program Regional Ramadhan Relief untuk memberi bantuan kepada lebih daripada 6,000 keluarga kurang berkemampuan di 11 negara.

Pengedaran kotak makanan bermula di sini, hari ini, pada satu majlis yang mana kotak makanan itu diserahkan oleh Nor Shahrizan dan presiden pengarah Maybank Indonesia Taswin Zakaria kepada 100 wakil daripada 590 keluarga penerima manfaat di Indonesia.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, beliau berkata: "Jakarta dipilih sebagai lokasi simbolik kerana terdapatnya perniagaan Maybank di sini."

Beliau berkata, sejak 2017 program tersebut telah dikembangkan ke Indonesia dan memanfaatkan hampir 13,000 keluarga di negara ini dengan sumbangan bernilai lebih RM2.4 juta.

"Kami berharap bantuan kecil yang kami berikan ini akan membawa keceriaan kepada penerima manfaat pada bulan Ramadan nanti,” katanya.

Program itu juga selari dengan komitmen bank tersebut dalam menganjurkan inisiatif impak sosial dan sejajar dengan misi kumpulan untuk menginsankan perkhidmatan kewangan di mana cawangan Maybank beroperasi.

Menurut Nor Shahrizan, program ini telah memanfaatkan lebih 100,000 keluarga kurang berkemampuan sejak 2013 dengan jumlah agihan bernilai hampir RM16 juta secara kerjasama dengan empat rakan kemanusiaan, iaitu Islamic Aid Malaysia (IAM), Islamic Relief Malaysia, MERCY Malaysia dan Yayasan Ikhlas. 

Berlandaskan misi Kumpulan Maybank untuk menginsankan perkhidmatan kewangan, bank itu berusaha untuk membina daya tahan masyarakat di seluruh ASEAN dan melaksanakan tindakan responsif untuk menggalakkan pembangunan ekonomi dan kesejahteraan sosial serta meningkatkan kehidupan dua juta isi rumah di seluruh ASEAN menjelang 2025.

Program tersebut akan memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan bantuan di Malaysia, Indonesia, Singapura, Vietnam, Filipina, Laos, Thailand, Kemboja, Brunei, komuniti Muslim Rohingya di Cox’s Bazar, Bangladesh, dan Dubai, Emiriah Arab Bersatu - yang mana Maybank Islamic mempunyai cawangan sejak 2019.

-- BERNAMA