Penduduk Serbu Jualan Rahmah Bagi Dapatkan Barangan Keperluan

04/03/2024 05:11 PM

ALOR SETAR, 4 Mac (Bernama) -- Lebih 500 penduduk menyerbu Jualan Rahmah anjuran Kementerian Pedagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), untuk mendapatkan barangan keperluan lebih murah di perkarangan Masjdi Az-Zakiah, Kampung Gerigis di sini, hari ini.

Tinjauan Bernama mendapati penduduk mula beratur seawal 8 pagi, untuk mendapatkan pelbagai barangan yang ditawarkan antara 10 hingga 30 peratus lebih murah daripada harga pasaran.

Seorang penduduk Nur Shuhaila Rosli, 33, berkata dia datang ke program itu pada 9 pagi bersama penduduk lain, untuk mengelakkan daripada terlepas membeli barangan keperluan seperti beras, gula dan minyak masak.

“Saya tahu program ini dari kawan-kawan, terus datang sini...rasa rugi juga sebab beras dan minyak masak dah habis, di sini saya beli dua kampit beras lima kilogram (kg) berharga RM28 berbanding RM39 jika di kedai runcit dan gula berharga RM2.85 sekilogram.

“Memang murahlah minyak masak pun RM2.50 sepeket, saya nasihatkan orang ramai jika ada Jualan Rahmah di tempat mereka, hadirlah kerana dapat menjimatkan poket terutama nak sambut Ramadan tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Warga emas, Solehah Ahmad, 63, berkata, program Jualan Rahmah itu terbukti membantu rakyat yang terkesan dengan kenaikan harga barangan, dan berharap diperluaskan lagi di lokasi lain yang dekat dengan penduduk.

“Hari ni saya beli banyak juga beberapa barangan keperluan macam gula, minyak masak, tepung, kicap dan sos sebab nak sambut puasa dah, ringan beban sikit dengan keadaan ekonomi sekarang dengan harga makin meningkat sekarang,” katanya.

Bendahari Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Gerigis Latifah Omar, 50, berkata sambutan kali ini amat luar biasa, apabila orang ramai tidak putus-putus mengunjungi khemah jualan di masjid tersebut.

Beliau berkata program kali ini merupakan yang kedua diadakan di kawasan tersebut, dan banyak barangan asas ditawarkan kepada penduduk yang rata-ratanya terdiri daripada pesawah.

“Antara barangan yang disediakan termasuklah sardin, tepung beras, tepung pulut, ikan masin, ayam segar, sabun pencuci pakaian, mi segera hinggalah pencuci pinggan mangkuk.

“Penduduk di sini bersyukur kerana dapat jimat kos mereka, semua yang ditawarkan amatlah diperlukan tambahan bagi keluarga yang besar, jadi kami cadang supaya dianjurkan lagi program ini di sini dari semasa ke semasa bagi membantu rakyat,” katanya.

-- BERNAMA