Raja Muda Kedah Titah Rakyat Berjaga-jaga Ketika Cuaca Panas

06/03/2024 05:49 PM

PENDANG, 6 Mac (Bernama) -- Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin menasihatkan rakyat negeri ini supaya mengambil langkah berjaga-jaga ketika cuaca panas pada masa ini.

Baginda bertitah bagi pelajar pula, mereka dinasihatkan supaya patuh kepada arahan guru bagi mengelak daripada terdedah kepada panas terik yang boleh menyebabkan kejadian tidak diingini.

“Kalau cuaca panas janganlah kita main tengah panas, berada di luar, kurangkan duduk di kawasan terbuka. Kalau macam sekolah, saya difahamkan aktiviti luar dikurangkan atau tak buat terus, budak-budak pun kena dengar apa cikgu kata," titah Tengku Sarafudin.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Penyampaian Sumbangan Back To School dan Sumbangan Ihya Ramadan Tabung Amanah Sultan Kedah (TASK) kepada 300 penerima di Dewan Cenderawasih, di sini hari ini.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan terdapat enam kawasan di Kedah menghadapi cuaca panas Tahap 1 (Berjaga-jaga) iaitu Pulau Langkawi, Kota Setar, Pendang, Baling, Pokok Sena dan Sik.

Tahap berjaga-jaga adalah keadaan suhu maksimum harian mencapai antara 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

Sementara itu, Tengku Sarafudin yang juga Pengerusi TASK berharap bantuan disalurkan kepada penerima dapat membantu golongan berpendapatan rendah menghadapi sesi baharu persekolahan dan persediaan menyambut Ramadan nanti.

“Bagus apa dibuat Tabung Amanah Sultan Kedah (TASK) yang mengadakan acara ini sebab tabung ini ditubuhkan untuk membantu golongan berpendapatan rendah. Saya galakkan tabung ini buat lagi bantuan sama ada bantuan Back To School atau bagi bantuan makanan.

“Macam TASK dulu pun kita ada bantuan baiki rumah bila kita tengok tak selesa...bukan ini saja malah pendidikan, kesihatan dan sukan,” titah baginda.

Seorang penerima, Nur Dini Nasuha Mohd Khairudin, merupakan murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Chegar di sini berkata dia bersyukur menerima sumbangan yang dapat meringankan perbelanjaan keluarga.

“Rasa seronoklah dapat sumbangan daripada Raja Muda Kedah. Rasa bersemangat nak sekolah, saya akan belajar bersungguh-sungguh demi mengejar cita-cita menjadi seorang guru,” katanya kepada Bernama.

-- BERNAMA