Pan Gon Harap Dapat Kutip Satu Mata Di Muscat

08/03/2024 10:22 PM

PETALING JAYA, 8 Mac (Bernama) -- Pengendali Harimau Malaya Kim Pan Gon berharap skuad bimbingannya dapat mengutip sekurang-kurangnya satu mata ketika menentang Oman pada aksi ketiga Kumpulan D saingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Kompleks Sukan Sultan Qaboos, 21 Mac ini.

Mengakui berdepan tugas berat di Muscat, Pan Gon bagaimanapun berkata Malaysia perlu menyahut cabaran menentang pasukan di ranking ke-80 dunia itu.

“Kita perlu memperoleh satu mata, walaupun ia sukar bagi pasukan di ranking ke-132 (Malaysia) to play against pasukan di ranking ke-80 (Oman) di tempat lawan.

“Kita juga perlu menyesuaikan dengan perbezaan masa, dengan perlawanan dijadual pada 10 malam iaitu awal pagi (2 pagi) di sini, menjadikannya sangat sukar,” katanya kepada pemberita pada hari pertama kem latihan pusat hari ini.

Jurulatih dari Korea Selatan itu turut melahirkan kebimbangan untuk mengekalkan momentum menjelang pertemuan dengan Oman memandangkan musim baharu Liga Malaysia (Liga-M) akan bermula Mei depan.

“Keadaan kita tidak ideal buat masa ini memandangkan liga telah berakhir pada Disember leps dan musim baharu akan bermula pada Mei. Pemain memerlukan masa perlawanan berkala setiap minggu.

“Selepas Piala Asia 2023, pemain tidak mendapat masa perlawanan dan  beberapa kelab Liga-M bahkan belum memulakan pramusim mereka. Dari segi fizikal, kita ketinggalan dan bermain di tempat lawan semasa Ramadan, ia menambah lagi cabaran,” katanya.

Sementara itu, Pan Gon berkata Harimau Malaya akan berdepan Nepal sebagai aksi pemanas badan pada 15 Mac ini yang berlangsung secara tertutup sebelum berlepas ke Oman.

Malaysia ketika ini memimpin saingan Kumpulan D dengan mengumpul enam mata hasil kemenangan ke atas Kyrgyzstan (4-3) dan Taiwan (1-0) dalam dua aksi sebelum ini.

-- BERNAMA