Pkns Peruntuk Rm13,500, Santuni 45 Anak-anak Ukhuwah

09/03/2024 03:43 PM

SHAH ALAM, 9 Mac (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) hari ini memperuntukkan RM13,500 bagi menyantuni 45 anak-anak dari Pertubuhan Kebajikan Ukhuwah Anak Yatim/Miskin Daerah Sabak Bernam (UKHUWAH) membeli kelengkapan pakaian raya menerusi program ‘Shopping Raya Ramadan Kasih PKNS’.

Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat PKNS Sapna Turmidi berkata program yang memasuki musim kedua itu diadakan dengan kerjasama Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) bertujuan memberi keceriaan kepada kanak-kanak tersebut di samping meringankan beban pentadbir rumah UKHUWAH menyediakan kelengkapan raya kepada mereka.

"Sama seperti tahun lalu, PKNS memperuntukan RM300 setiap seorang dengan kali ini anak-anak terbabit diberikan peluang memilih sendiri pakaian dan kasut raya mengikut cita rasa masing-masing dan persalinan itu juga akan dipakai semasa program Iftar Ramadan Kasih PKNS nanti.

"Kami amat gembira melihat wajah cerita dan rasa keterujaan anak-anak ini. Semoga semangat dan kegembiraan ini terus berlanjutan sehingga Ramadan dan Aidilfitri nanti,” katanya kepada pemberita pada program berkenaan di Kompleks PKNS Shah Alam, di sini.

Sapna berkata PKNS juga mengatur pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di bawah payung program Ramadan Kasih PKNS di sepanjang bulan puasa ini seiring komitmen perbadanan itu berkongsi rezeki dengan mereka yang kurang berkemampuan.

Beliau berkata selain 'shopping raya', Ramadan Kasih PKNS tahun ini turut melibatkan aktiviti edaran bubur lambuk, berbuka puasa bersama gelandangan, bekal Ramadan dan iftar Ramadan.

“Program seperti ini bukan hanya memberi bantuan dalam bentuk kebendaan kepada yang memerlukan, tetapi juga kesempatan kepada mereka untuk mengeratkan ukhuwah sesama insan, seterusnya menyemarakkan semangat persaudaraan dan kepedulian dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Sapna berkata program CSR itu turut mencerminkan kesinambungan komitmen PKNS sebagai sebuah agensi kerajaan negeri dalam melaksanakan inisiatif ‘memberi kembali’ kepada masyarakat secara konsisten, khususnya sempena Ramadan yang mulia. 

-- BERNAMA