Fama, Ayam Bismi Meterai Mou Pastikan Bekalan Ayam Proses Halal Mencukupi
ALOR SETAR, 10 Mac (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Syarikat penternakan, pemprosesan serta pengedaran Urusan Bismi Empire Sdn Bhd (Ayam Bismi) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memastikan ketersediaan bekalan ayam proses halal mencukupi.
Pengerusi FAMA Aminuddin Zulkipli berkata objektif MoU itu ialah mewujudkan kerjasama yang akan menyokong agenda keterjaminan makanan negara melalui pembekalan dan pengedaran ayam proses halal.
Beliau berkata melalui kerjasama itu, FAMA berusaha memastikan ketersediaan bekalan ayam proses halal mencukupi bagi memenuhi keperluan dalam program jualan langsung dan outlet peruncitan FAMA.
"Pihak Ayam Bismi akan membantu menyediakan bekalan ayam proses kepada FAMA mengikut keperluan serta menyediakan 60 tan ayam pada 2024 untuk pasaran di Kedah dan kerjasama ini membolehkan rakyat menerima manfaat bersama.
"FAMA juga mengalu-alukan mana-mana usahawan yang ingin turut bekerjasama dengan pihak kita," katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani MoU itu di Pejabat Pengurusan Ayam Bismi di Simpang Empat hari ini.
MoU itu ditandatangani oleh Pengarah FAMA Kedah Zuriana Mat Adam dan Pengarah Kanan Bahagian Pemasaran Segar FAMA Shahrizan Sudiman manakala Ayam Bismi yang diwakili Pengarah Urusan Ayam Bismi Mazlina Kamarudin dan Pengerusi Ayam Bismi Jaffri Ahmad.
Aminuddin juga berkata bekalan makanan lain juga dijamin mencukupi untuk keperluan pengguna sepanjang Ramadan ini.
Jaffri pula berkata pihaknya akan meningkatkan bekalan ayam sebanyak 25 peratus.
“Kalau kebiasaannya kita sediakan 200,000 ekor ayam seminggu tapi untuk Ramadan, kita tambah menjadi 250,000 berikutan jangkaan bahawa permintaan akan meningkat.
“Kami sokong hasrat serta kerjasama dengan FAMA dan akan berikan harga terbaik dengan produk yang berkualiti," katanya sambil menambah Ayam Bismi juga memiliki rumah sembelihan berstatus halal dan Sijil Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI).
-- BERNAMA