Waktu Bekerja Penjawat Awam Pulau Pinang Dibincang Esok

12/03/2024 09:07 PM

GEORGE TOWN, 12 Mac (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pulau Pinang berkemungkinan membincangkan mengenai sebarang perubahan atau kelonggaran waktu bekerja penjawat awam di negeri itu sepanjang Ramadan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, esok.

“Kita boleh bincang esok dalam mesyuarat exco,” kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow kepada pemberita selepas merasmikan Bazar Ramadan anjuran Liga Muslim Pulau Pinang di Lebuh Queen, hari ini.

Sebelum ini, kerajaan negeri Pahang mengumumkan waktu bekerja penjawat awam negeri itu pada setiap Jumaat sepanjang Ramadan tahun ini ditetapkan sehingga 12.30 tengah hari.

Sementara itu, Chow memaklumkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah meluluskan 27 permohonan penganjuran bazar Ramadan manakala Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) meluluskan 45 Bazar Ramadan dan lapan Bazar Aidilfitri setakat hari ini.

Justeru, beliau menyeru para peniaga supaya menjalankan perniagaan dengan jujur dan amanah tanpa menaikkan harga makanan ketika bulan puasa selain mengutamakan kebersihan demi keselamatan semua pihak.

Bazar Ramadan anjuran Liga Muslim Pulau Pinang itu merupakan acara tradisi yang dihadiri Chow pada hari pertama Ramadan setiap tahun sepanjang berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota sejak 2008.

-- BERNAMA