Penduduk Sungai Layar Serbu Jualan Rahmah
SUNGAI PETANI, 13 Mac (Bernama) -- Kira-kira 300 penduduk di Sungai Layar menyerbu Jualan Rahmah Madani anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Masjid Al Majidi di sini, pagi tadi.
Tinjauan Bernama mendapati para pengunjung tidak menghiraukan panas terik untuk beratur panjang bagi mendapatkan barangan keperluan harian yang dijual lebih murah antara 10 hingga 30 peratus daripada harga pasaran.
Seorang warga emas yang juga peniaga minuman, Puteh Samsuddin, 70, berkata beliau datang seawal 10 pagi untuk mendapatkan barangan yang diperlukan seperti gula, beras dan kordial minuman.
“Beli di sini murah, beras RM14 sekampit lima kilogram (kg) berbanding RM18, kordial minuman RM4 berbanding harga di luar RM6. Kiranya sangat membantulah penduduk di sini jimat perbelanjaan,” katanya.
Suri rumah Haslinda Ismail, 34, pula berkata beliau membeli barangan untuk digunakan sepanjang Ramadan ini terutama beras, gula, sabun pencuci, ikan masin dan kicap.
Haslinda berkata program tersebut sangat dinanti-nantikan penduduk kerana diadakan dalam kawasan komuniti, justeru memudahkan mereka datang membeli sendiri walau hanya dengan menaiki motosikal.
“Puasa ini datang cari ikan masin dan barang keperluan sahaja, beli untuk puasa dan harap akan ada lagi program di sini kerana kami dapat berjimat, berbanding beli di kedai runcit,” kata ibu kepada tiga anak dari Kampung Sungai Hujung.
Rokiah Arshad, 64, berkata walaupun agak letih kerana berpuasa, beliau menggagahkan diri untuk datang membeli barangan keperluan kerana dapat berjimat.
“Penduduk mengharapkan akan ada lagi program seperti ini untuk menyambut Syawal pula kerana barangan yang dijual murah dan membantu kami berjimat banyak jugalah,” katanya sambil berterima kasih kepada kerajaan yang prihatin dengan nasib rakyat.
-- BERNAMA