21 Kali Ubah Suai Untuk Bina Pintu Gerbang Masjid Imanul Fa’izin
Oleh Habsah Ismail
KOTA BHARU, 14 Mac (Bernama) -- Ketelitian menjadi keutamaan dalam pembinaan Masjid Imanul Fa'izin atau dikenali sebagai Masjid Andalusia di Jalan Pasir Puteh, Kampung Padang Kala, di sini hinggakan untuk pintu gerbang sahaja sebanyak 21 kali ubah suai dilakukan bagi mendapatkan reka bentuk yang tepat.
Masjid yang tular kerana kecantikan dan keunikan reka bentuknya itu mula dibina pada 2020, inspirasi daripada Masjid Sheikh Zayed di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Pemilik masjid, Ibrahim Mat Sin, 68, berkata sedari awal beliau amat menitikberatkan reka bentuk setiap binaan kubah, tiang mahupun pintu gerbang masjid agar secara luaran ia menyamai Masjid Sheikh Zayed.
“Sewaktu masjid ini siap dibina ukuran pintu gerbangnya tidak sama, jadi saya minta tukang untuk baikinya dengan ukuran, had tinggi dan panjang pintu yang tepat mengikut reka bentuk pintu gerbang Masjid Sheikh Zayed.
“Sebab itu tukang untuk pintu pintu gerbang ini terpaksa melakukan banyak kali kerja ketuk dan baiki semula hingga saya puas hati,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Ibrahim berkata bagi memastikan pintu gerbang itu menepati spesifikasi yang ditetapkan, beliau memberikan banyak gambar Masjid Sheikh Zayed kepada tukang untuk mencontohi reka bentuk pintu gerbang serta binaan bahagian lain masjid itu.
“Saya hantar gambar reka bentuk pintu Masjid Sheikh Zayed kepada tukang agar pintu gerbang Masjid Imanul Fa'izin ini hampir sama rekaannya, malah saya bimbing serta pantau perkembangan pembinaannya setiap hari menerusi WhatsApp kerana saya tinggal di Kuala Lumpur,” katanya.
Ibrahim yang juga Pengarah Urusan Kumpulan Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd. berkata setelah merasakan reka bentuk pintu gerbang tersebut hampir tepat barulah beliau bersedia membuka masjid itu kepada orang ramai.
Menurutnya Masjid Imanul Fa'izin dibuka pada hari pertama Ramadan bagi mengambil keberkatan bulan suci itu sekali gus menamatkan penantian orang ramai yang tertunggu-tunggu pembukaannya.
“Alhamdulillah, apabila dibuka pada hari pertama Ramadan tempoh hari hampir 2,000 jemaah hadir menunaikan solat tarawih pertama di masjid ini,” katanya.
Selain pintu gerbang, kehadiran lebih 100 kubah besar dan kecil berwarna putih yang sebahagiannya ditempah khas dan dibeli dari Medan, Indonesia, turut mencuri perhatian pengunjung masjid.
"Terdapat lima kubah besar dan lebih 100 kubah kecil yang sebahagianya turut dihasilkan oleh tukang ukir dan pembuat bot fiber dari Besut, Terengganu, manakala ukiran seperti batu nisan pada bahagian bumbung sekelilling masjid ditempah daripada pengukir seni kayu tersohor dari Besut," katanya.
Menurutnya marmar pada lantai dan dinding masjid pula dibeli dari Turkiye, Mesir dan Oman, manakala karpet seperti corak karpet Raudhah di Masjid Nabawi pula ditempat daripada kilang di Madinah.
Ibrahim berkata pembinaan masjid itu menelan belanja lebih RM7 juta dan idea pembinaannya tercetus hasil pengalaman beliau menziarahi banyak masjid luar negara termasuk masjid dimiliki Sultan Qabus Oman dan Masjid Biru di Turkiye yang terkenal.
-- BERNAMA