Aminuddin Nafi Masuk Campur Urusan Kontrak Pemain Nsfc
SEREMBAN, 14 Mac (Bernama) -- Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun menafikan terlibat dalam urusan penamatan kontrak pemain pasukan Negeri Sembilan FC musim ini.
Aminuddin berkata pihak yang mendakwa beliau terlibat dalam perkara itu perlu mengemukakan bukti.
“Jangan buat fitnah, terutamanya di bulan Ramadan ini...apa buktinya saya campur tangan dalam urusan bola sepak serta pemain. Saya berharap dengan adanya pengurusan baharu NSFC, ia akan berjalan dengan baik dan teratur.
“Sebelah saya ini ialah Timbalan Presiden NSFC (Datuk Mohd Zafir Ibrahim) yang juga akan menyelia setiap satu ringgit yang kita (kerajaan negeri) beri kepada NSFC supaya dapat dibelanjakan dengan betul dan meningkatkan mutu bola sepak negeri,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Aminuddin berkata prestasi pasukan juga harus dipersoalkan kerana kerajaan negeri telah membantu memberikan sumbangan kewangan kepada pasukan, namun pencapaian pasukan tidak cemerlang.
“Ada negeri, bajetnya lebih rendah berbanding NSFC tetapi menunjukkan prestasi yang baik, sedangkan kita lebih sedikit tetapi (prestasi) tidak ke mana...ini harus persoalkan kepada pemain (dan) bukan dipersoalkan kepada saya,” katanya.
Sebelum ini media tempatan melaporkan bekas ketua pasukan NSFC Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak mengumumkan persaraan sebagai pemain selepas kontraknya tidak disambung bagi musim baharu Liga Malaysia musim ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NSFC Muhammad Faliq Firdaus Muhammad Rom berkata keputusan tidak menyambung kontrak Mohamad Zaquan dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk usia pemain itu yang mencecah 37 tahun serta rekod kecederaannya.
"Mohamad Zaquan berumur 37 tahun dan setiap slot pemain kami sangat berharga memandangkan kekangan kewangan, peluang dan sumbangan sebagai pemain pasti tidak dapat dimaksimumkan.
“Memandangkan beliau memiliki rekod lima kali kecederaan ACL (ligamen krusiat anterior), pastinya ini satu risiko bagi kewangan kelab dalam jangka panjang," katanya menerusi aplikasi X.
-- BERNAMA