Tiada Laporan Kes Keracunan Makanan Di Bazar Ramadan - Dzulkefly

15/03/2024 07:05 PM

PUTRAJAYA, 15 Mac (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) tidak menerima sebarang laporan kes keracunan makanan di bazar Ramadan di seluruh negara setakat ini, kata Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata perkara itu adalah satu petanda baik memandangkan KKM telah melaksanakan 183 sesi taklimat kebersihan premis makanan dan pengendalian makanan yang selamat kepada pemilik gerai sebelum Ramadan lagi. 

Beliau berkata taklimat yang bermula sejak awal Febuari itu melibatkan 70,334 pemilik gerai di 1,299 tapak bazar Ramadan yang dikenal pasti di seluruh negara pada tahun ini.

“Itu (tiada laporan keracunan makanan) petanda baik kerana sejak Februari lagi kita telah mulakan kesiapsiagaan, kita telah mula sesi penerangan dan latihan buat pemilik serta pengendali makanan,” katanya.

Dr Dzulkelfy berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Ops Kebersihan dan Keselamatan Makanan Bazar Ramadan 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata sebelum Ramadan, KKM juga telah memeriksa 324 premis penyediaan makanan termasuk kilang ais di semua negeri.

“Pemeriksaan premis makanan itu juga meliputi premis yang menyediakan bufet berbuka puasa seperti restoran dan hotel.

“Pemantauan secara sistematik di sepanjang rantaian makanan ini meliputi pemeriksaan premis pembekal bahan mentah termasuk kilang ais dan premis penyediaan makanan bagi peniaga yang telah dilesenkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya. 

Sementara itu Dr Dzulkefly berkata KKM meneruskan penggunaan kod QR bagi maklum balas kebersihan dan keselamatan makanan di Bazar Ramadan Putrajaya tahun ini.

“Ia bagi memudahkan pengguna menyalurkan sebarang aduan berkaitan kebersihan dan keselamatan makanan di bazar sekitar Putrajaya.

“KKM ingin menegaskan kepada peniaga agar memandang serius aspek kebersihan dan keselamatan makanan serta bekerjasama memastikan makanan yang dijual adalah selamat dan berkualiti untuk semua,” katanya. 

Mengenai laporan makanan mengandungi telur lalat di bazar Ramadan di Melaka, beliau berkata KKM akan menjalankan siasatan mengenai perkara itu.

“Kita pasti membuat siasatan dan mengharapkan laporan mana-mana pihak, KKM pasti ambil tindakan,” katanya.

Semalam, media tempatan melaporkan seorang wanita meluahkan kekecewaan apabila mendakwa sup daging yang dibelinya di sebuah bazar Ramadan Semabok, Melaka, mengandungi telur lalat.

-- BERNAMA