Melaka Salur Sumbangan Kepada 28 Institusi Tahfiz Berdaftar Libatkan Peruntukan Rm268,800     

16/03/2024 11:24 PM

MELAKA, 16 Mac (Bernama) -- Kerajaan negeri menyalurkan sumbangan sekali beri kepada 28 institusi tahfiz yang berdaftar di bawah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) pada tahun ini membabitkan peruntukan berjumlah RM268,800.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata sumbangan tahunan berjumlah RM9,600 bagi setiap tahfiz yang disalurkan oleh Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) itu bertujuan membantu dari aspek pengoperasian sekali gus meringankan beban kewangan institusi pendidikan Islam swasta (IPIS) itu.

"Sehubungan itu, saya ingin menegaskan kepada semua IPIS yang beroperasi di Melaka dan masih belum berdaftar di bawah JAIM supaya segera berbuat demikian.

"Ia bagi memastikan sistem pembelajaran IPIS tersebut mengikut peraturan sekali gus sebarang bentuk penyaluran sumbangan khususnya daripada kerajaan negeri dapat diagihkan setiap tahun," katanya kepada pemberita di Dataran Pusat Islam Melaka hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Iftar Jamaie Mega sempena Program Ihya Ramadan Peringkat Negeri Melaka 2024. 

Ab Rauf juga berkata sejumlah 811 pelajar lima institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri itu menerima wang saku sekali beri sebanyak RM200 seorang yang membabitkan peruntukan berjumlah RM162,200.

Beliau berkata IPT terbabit ialah Politeknik Melaka, Universiti Islam Melaka, Kolej Profesional Mara Bandar Melaka, Kolej Antarabangsa Sains dan Teknologi Melaka serta Kolej Al-Quran Sayyidina Ali.

"Sumbangan ini merupakan sebahagian cabang di bawah instrumen fidyah yang dilaksanakan MAIM untuk golongan pelajar daripada keluarga B40 sejak tahun lepas.

Terdahulu, Ab Rauf berkata Majlis Iftar Jamaie Mega yang disertai lebih 2,500 orang terdiri daripada pelajar tahfiz dan orang awam itu merupakan sebahagian daripada program Bulan Pelancongan Islam sempena Tahun Melawat Melaka 2024.

Beliau berkata program itu bertujuan memperkukuh dan mengeratkan lagi silaturahim dalam kalangan umat Islam selain menyemarakkan sambutan bulan Ramadan.

-- BERNAMA