Penduduk Kecewa Syarikat Pengurusan Air Kelantan Bermasalah

17/03/2024 03:16 PM

KOTA BHARU, 17 Mac (Bernama) -- Lebih 300 penduduk di tiga buah kampung di Pasir Tumboh di sini, kecewa selepas bekalan air daripada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) masih tidak berubah walaupun tarif air baharu telah dilaksanakan.

Lebih mengecewakan, masalah bekalan air semakin teruk sejak beberapa minggu sebelum Ramadan, menyukarkan penduduk melakukan aktiviti harian termasuk memasak, membasuh pakaian malah ada yang membina telaga tiub di kediaman masing-masing dan terpaksa mengeluarkan kos mencecah ribuan ringgit.

Penghulu Kampung Limbat Bukhari Daud, 67, berkata penduduk sudah penat membuat aduan kepada AKSB, namun ia bukan hanya tidak menyelesaikan masalah malah terpaksa 'menelan' jawapan yang pahit untuk diterima.

“Jawapannya termasuk mengulangi alasan sama seperti tahun-tahun sebelum ini, iaitu akibat kemarau dan berlaku kebocoran akibat kerosakan paip lama. Kami beranggapan apabila penarafan baharu dilaksanakan, perkhidmatan AKSB akan ada peningkatan namun ia masih di takuk lama,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Bukhari berkata masalah ketiadaan air atau terputus bekalan bukan perkara baharu, bahkan sudah berlanjutan sejak sekian lama dan seharusnya telah lama dapat ditangani.

Seorang penduduk Adnan Ahmad, 52, berkata AKSB dilihat berada dalam zon selesa, kerana ia satu-satunya syarikat pengurusan air yang beroperasi di Kelantan tanpa persaingan daripada mana-mana syarikat lain.

“Kewujudan syarikat lain dalam pengurusan air negeri perlu ada, bagi memberi pilihan kepada rakyat mendapatkan perkhidmatan lebih baik selain memberi persaingan yang sihat kepada AKSB,” katanya.

Sementara itu, tukang paip Muhd Zakri Baharudin berkata beliau bersama tiga pekerjanya tidak menang tangan memenuhi permintaan pelanggan untuk memasang enjin pam air di kediaman masing-masing, sejak awal tahun ini.

“Antara kawasan yang banyak mendapatkan khidmat kami ialah di jajahan Kota Bharu, Tumpat dan Bachok, yang kebanyakannya berdepan masalah bekalan air yang teruk. Kebanyakan pelanggan kami memasang enjin untuk mengepam air dari telaga tiub atau air AKSB yang mengalami tekanan rendah,” katanya.

Sebelum ini, AKSB mewar-warkan bahawa pelarasan tarif air akan dapat meningkatkan pendapatannya untuk digunakan bagi operasi dan kerja-kerja pembangunan infrastruktur, naik taraf, baik pulih serta penyelenggaraan.

-- BERNAMA