Harga Beras Putih Import Turun Antara Rm2 Ke Rm3 Berkuat Kuasa Esok - Kpkm
PUTRAJAYA, 19 Mac (Bernama) -- Harga jualan runcit Beras Putih Import (BPI) turun antara RM2 hingga RM3 di pasaran berkuat kuasa esok, menurut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Pada masa ini harga runcit BPI di pasaran dijual sekitar RM38 hingga RM45 untuk pek 10 kilogram (kg) dan dengan pengumuman pelarasan harga baharu, jangkaan harga runcit BPI turun ke RM35 untuk pek yang sama.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dalam kenyataan hari ini berkata keputusan itu yang dimuktamadkan melalui Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), dibuat bagi menangani isu kekurangan Beras Putih Tempatan (BPT) di pasaran susulan pelarasan harga BPI oleh Bernas pada 1 Sept lepas.
"Sehubungan itu bagi meningkatkan akses rakyat kepada bekalan beras pada harga yang munasabah, kerajaan melalui Mesyuarat NACCOL bersetuju supaya penurunan harga jualan runcit BPI antara RM2 hingga RM3 di pasaran dilaksanakan.
"Kerajaan optimis inisiatif ini dapat membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup terutamanya semasa Ramadan dan musim perayaan yang bakal menjelang," katanya.
Selain itu Mohamad berkata bagi meningkatkan pengedaran BPT di pasaran, kerajaan memutuskan supaya semua stok semasa padi dan beras yang telah dibeli oleh pengilang berjumlah 140,000 tan metrik diproses dan dikeluarkan untuk kegunaan pasaran tempatan dengan serta merta.
"Justeru KPKM akan meningkatkan penguatkuasaan melalui Kawal Selia Padi dan Beras (KPB) di seluruh negara.
"Dalam meluaskan jaringan pengedaran BPT, aktiviti Jualan Agro MADANI yang dilaksanakan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) akan diperluaskan dari segi lokasi dan peningkatan kekerapan program," katanya.
Menurut Mohamad kerajaan turut bersetuju agar semua Kontrak Kerajaan mengguna pakai sepenuhnya BPI.
Melalui kaedah itu bekalan tambahan BPT sebanyak 20,000 tan metrik dapat diedarkan sepenuhnya di pasaran pada April ini.
"Kesemua langkah ini akan dapat meningkatkan ketersediaan bekalan beras kepada rakyat melalui jualan BPI pada harga yang lebih rendah serta pertambahan BPT di pasaran," katanya.
Beliau berkata dalam masa yang sama, KPKM juga akan meneruskan perbincangan bersama semua pihak berkepentingan untuk memperhalusi pelan tindakan jangka panjang bagi struktur kos pengeluaran beras yang lebih realistik.
Menurutnya ini bagi memastikan industri padi dan beras adalah mampan terutamanya dalam menjaga kepentingan dan kebajikan pesawah serta meningkatkan produktiviti pengeluaran beras negara.
"Sesungguhnya keputusan ini mencerminkan komitmen utuh Kerajaan MADANI dalam menjaga kebajikan rakyat dan memperkukuhkan agenda keterjaminan makanan negara," katanya.
-- BERNAMA