Bazar Ramadan Ukm Jadi Platform Pelajari Pengurusan Perniagaan

20/03/2024 12:18 PM

PUTRAJAYA, 20 Mac (Bernama) -- Bazar Ramadan Universiti Kebangsaan (UKM) menjadi platform kepada mahasiswa mempelajari aspek pengurusan perniagaan selain bertindak sebagai inkubator perniagaan untuk mereka.

Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata bazar berkenaan turut memberi peluang kepada usahawan siswa menjalankan perniagaan secara praktikal dan menjana pendapatan sepanjang Ramadan ini.

 “Tempoh berniaga sepanjang bulan puasa ini memberi banyak ruang kepada usahawan siswa untuk mengemudi landskap operasi perniagaan mereka seperti dari segi pemasaran, kewangan, sumber manusia, pengurusan operasi dan perancangan strategik,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan UKM hari ini.

Memperincikan mengenai bazar itu beliau berkata sebanyak 14 tapak diusahakan oleh usahawan siswa,  empat tapak untuk usahawan alumni UKM dan 26 tapak pula diusahakan peniaga komuniti.

Menurutnya kombinasi peniaga tersebut membolehkan usahawan siswa mempelajari teknik perniagaan melalui pemerhatian secara terus terhadap usahawan komuniti yang lebih lama terlibat dalam dunia perniagaan.

“Mereka bukan sahaja bersaing sesama sendiri malah bersama usahawan daripada komuniti setempat. Hal ini sejajar dengan usaha UKM untuk memupuk jiwa keusahawanan dalam kalangan pelajar,” katanya.

Bazar Ramadan UKM merupakan program tahunan yang dianjurkan oleh Pusat Pembangunan Keusahawanan dan EKS UKM (UKM-CESMED) dengan kerjasama Kelab Keusahawanan Sosial UKM, CESMED Buddies dan MyAgrosis UKM.

Sementara itu, pelajar Fakulti Sains dan Teknologi Adam Danial Hairun Azma menyifatkan bazar itu sebagai platform bagi usahawan siswa memperkenalkan produk masing-masing dan menonjolkan kemahiran keusahawanan mereka.

Mengusahakan jenama sendiri iaitu Popis by Tiga Ketul, Adam Danial berpandangan setiap usahawan siswa perlu kreatif dalam memasarkan produk sendiri dan mengamalkan persaingan secara sihat.

“Saya menjual popia pisang manakala kawan saya pula menjual sup cendawan dan minuman ‘cha ba ang’, semuanya buat sendiri,” katanya. 

Menurutnya dengan berniaga bersama seorang rakan lain beliau dapat menjimatkan kos kerana sewa tapak gerai ditampung bersama. 

-- BERNAMA