Maiwp Labuan Peruntuk Rm902,234 Bantuan Kewangan Untuk Hospital Labuan

21/03/2024 06:20 PM

LABUAN, 21 Mac (Bernama) -- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan memperuntukkan RM902,234 bantuan kewangan untuk Hospital Labuan bagi membantu meningkatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan dan kebajikan pesakit.

Sumbangan di bawah skim bantuan pembiayaan peralatan kesihatan dan program bantuan tunai MAIWP itu juga bertujuan memperkukuh kemudahan penjagaan kesihatan dan meringankan beban kewangan pesakit.

Pengurus MAIWP Labuan Md Fadzli Md Saad berkata peruntukan sebanyak RM874,234 telah disalurkan bagi membiayai peralatan Jabatan Oftalmologi yang mempunyai kepakaran dalam mendiagnosis dan merawat masalah berkaitan mata.

Selain itu, MAIWP turut memperuntukkan RM18,000 untuk 180 pesakit beragama Islam di hospital itu bagi mengurangkan beban kewangan mereka semasa Ramadan.

“Baki RM10,000 akan digunakan untuk program kit mesra ibadah,” katanya pada majlis penyampaian bantuan kewangan itu di Hospital Labuan di sini hari ini.

Md Fadzi berkata MAIWP pada tahun ini turut meluluskan peruntukan sebanyak RM823,100 untuk pelbagai skim bantuan kesihatan Asnaf bagi membantu golongan kurang berkemampuan.

-- BERNAMA